Pokok gajus atau lebih popular dengan nama pokok jambu golok di Pantai Timur Semenanjung hidup subur di sepanjang pantai. Pokok jambu yang dianggap unik kerana bijinya berada di luar ini ada cerita tersendiri dengan musim mencandat sotong.
Apa persamaan jambu golok atau buah gajus dengan mencandat sotong? Ramai yang tidak mengetahui bahawa sotong dan jambu golok berkongsi musim yang sama.
Tatkala musim mencandat sotong itulah pokok gajus akan berbuah. Mungkin disebabkan persamaan inilah maka terhasilnya menu masak lemak sotong dengan buah jambu golok yang cukup popular di Terengganu.
Bahan-bahannya:
Beberapa biji jambu golok
Beberapa ekor sotong (saiz sederhana)
Secawan santan pekat
Dua ulas bawang merah
2 biji cili merah
Secubit garam
Sesudu gula
Cara memasak:
Buah jambu golok (yang masak atau matang) di potong halus. Kemudian direbus sehingga empuk.
Setelah itu, angkat dan toskan jambu golok tersebut sehingga buah tersebut sejuk. Kemudian ramas-ramaskan buah tersebut sehingga keluar airnya (hilang rasa kelat buah).
Masukkan santan serta masukkan bawang merah yang telah dihiris ke dalam periuk dengan api sederhana.
Tambah setengah cawan air agar kuahnya tidak terlalu pekat.
Kemudian masukkan sotong yang telah dibuang kulit selaputnya serta di potong bulat. Masukkan jambu golok yang telah diramas tadi serta masukkan cili merah yang di hiris, gula dan garam. Gaulkan seketika kemudian tutp api serta sedia untuk dihidangkan.
Cadangan hidangan; buat sambal belacan dan goreng ikan gelama pekasam dan makan ketika nasi masih panas-panas!
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.