Apa yang kita ada pada hari ini, amatlah wajar kita hargai dan pastikan ia terus kekal untuk tatapan generasi akan datang. Janganlah kerana kerakusan kita memancing hingga habis limit, anak cucu kita tidak lagi kenal rupa bentuk ikan yang ada di perairan kita.
Adalah sesuatu yang amat malang, jika suatu hari nanti, seluruh perairan kita dipenuhi ikan pendatang, lantaran kepupusan ikan asal dek kerana kerakusan kaki pancing yang tidak beretika!
Program Tagging Ikan
Ada beberapa pihak yang kini mengamalkan program ini, dengan objektif pemuliharaan serta memantau perkembangan serta tabiat spesis ikan tertentu. Program tagging ikan layaran serta tagging ikan kelah di Sungai Tahan adalah dua contoh program ini.
‘Tag’ adalah satu jarum plastik yang dimasukkan ke badan ikan, selalunya di bawah sirip dorsal ikan. Jika anda terjumpa tag ini di badan ikan, sila ikuti prosedur di bawah:
Jangan cabut tag tersebut, kecuali ikan sudah mati.
Rakamkan nombor tag, dan apa-apa keterangan yang ada pada tag seperti berat ikan; ukuran panjang ikan (dari mulut ke simpang ekor ikan); ukuran bulatan perut; lokasi tangkapan, keadaan perairan, tarikh dan masa, cuaca, umpan yang digunakan.
Lepaskan semula ikan berkenaan dan hubungi pihak yang berkenaan dan berikan keterangan di atas.
Sekitar Kebersihan
Bawa balik apa-apa barang yang anda bawa memancing. Jangan tinggalkan sampah merata-merata.
Bila memancing, bawa beg sampah yang besar, supaya sampah lebih senang di bawa pulang. Kutip sampah orang lain juga. Moga-moga anda menjadi contoh kepada orang lain!
Tumpukan perhatian kepada tali pancing lama, beg-beg plastik dan batu-batu ladung kecil. bahan-bahan ini telah menjejaskan kehidupan seperti burung dan ikan. Bawa pulang bahan-bahan ini.
Tin kosong serta beg plastik yang tinggalkan mungkin akan menakung air hujan dan justeru menjadi tempat pembiakan nyamuk. Bawanya ia pulang!
Menjaga Kualiti Perairan
Jangan kotorkan sungai atau tasik yang anda lawati.
Kalau tiada tandas untuk anda membuang air, jangan lakukannya di dalam atau berdekatan dengan perairan. Jika anda ingin membuang air besar, gali sebuah lubang, jauh dari perairan, kemudian kambuskan semula.
Di perairan seperti kolam atau lombong kecil, jangan gunakan terlalu banyak ‘umpan saham/rasuah’, kerana ini akan menjejaskan kualiti air.
Jangan buang apa-apa bahan kimia (seperti sabun, minyak, atau pun air tin berkabonat ke dalam perairan atau pun berhampiran dengannya).
Jangan guna terlalu banyak racun serangga (insecticide spray) dan bahan seperti serbuk belerang. Bahan-bahan ini mungkin memasuki perairan.
Menjaga Persekitaran Dan Tumbuhan
Cuba elakkan memotong tumbuhan disekitar tempat anda memancing. Tumbuhan ini adalah rumah bagi serangga, suatu sumber utama makanan ikan.
Jika anda ingin mendirikan khemah, gunakan tapak yang sedia ada. Cuba elakkan membuka tapak khemah yang baru. Tanah yang terdedah akan mengakibatkan lumpur memasuki perairan bila hujan lebat. Ini menjejaskan kehidupan air, termasuk ikan.
Jangan membuat unggun api, kecuali perlu. Dapur khemah yang menguunakan gas atau sebagainya adalah lebih ‘mesra alam’. Jika anda terpaksa membuat unggun, pastikan ia tidak merebak ke pokok atau tumbuhan berdekatan. Pastikan unggun dipadamkan sebelum anda meninggalkan tempat tersebut.
Di tapak khemah atau bila menjelajah hutan, jangan biarkan anak-anak pokok yang ditebang, meninggalkan kayu terpacak dari tanah. Ia ibarat perangkap samar yang mungkin menembusi badan bila anda jatuh ke tanah. Potong rata pada pangkalnya, supaya tiada kayu tajam menonjol.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.