Malang tidak berbau. Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya yang diparkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam, kelmarin.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta jenis Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah TASKA berdekatan tempat kejadian sekitar jam 2 petang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata polis menerima laporan berhubung insiden itu daripada seorang pegawai perubatan hospital terbabit pada jam 8.01 malam.
“Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu dipercayai hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada jam 6 petang.
“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat sudah dijalankan pada jam 2 petang semalam dengan keputusan ‘pending laboratory investigations’.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman pada kanak-kanak itu.
Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.