Sebelum ini penulis pernah terlibat dalam bidang event management pertandingan memancing. Banyak pengalaman dan cabaran yang penulis lalui dan tempuhi. Dari kes penipuan ikan hinggalah ke krisis ketidakpercayaan pemancing terhadap penganjuran yang kami lakukan semuanya telah penulis rasai.
Tetapi antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah apabila berdepan dengan satu situasi yang mana pemancing yang sama sering menjuarai pertandingan yang dianjurkan.
Kalau hendak diikutkan, situasi sebegini memang tidak sedikit pun memberi kesan terhadap pertandingan memancing yang kami anjurkan. Tetapi ia menjadi semakin serius apabila timbul persoalan demi persoalan daripada rakan pemancing yang mula meragui kejayaan yang diperoleh pemancing tersebut.
Dari situ, mulalah keluar fitnah dan pada masa yang sama khabar angin mula bertebaran bahawa pemancing berkenaan menggunakan bomoh, jin, hantu laut, tangkal dan sebagainya untuk membantu beliau menjuarai pertandingan.
Dari satu isu kecil ia mula menjadi besar dan dari situ ramai yang mula hilang kepercayaan terhadap pertandingan memancing dan sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada kami, penganjur pertandingan pada masa itu.
Hairan juga penulis dengan sikap segelintir pemancing kita yang begitu cepat jatuh hukum dan mengeluarkan fitnah yang entah apa-apa. Bagi penulis sendiri, isu-isu berkaitan guna tangkal, jin, hantu laut ini langsung tidak pernah penulis hiraukan apatah lagi untuk dipercayai.
Jika benarlah menggunakan perkara-perkara tahyul mampu untuk memperoleh kejayaan, pastinya sudah ramai yang bersenang-lenang dan hidup mewah di dalam dunia ni.
Penulis tertarik untuk membincangkan tentang isu ini apabila melihat beberapa komen dan status yang dimuat naik oleh rakan pemancing di laman sosial terhadap perkara ini. Ada yang mempersoalkan bagaimana pemancing yang sama mampu menyapu bersih kedudukan hadiah dalam sebuah pertandingan memancing.
Yang paling menarik nama pemancing dari Pantai Timur yang terpalit dengan kontroversi sebegini. Kononnya pemancing Pantai Timur bertanding secara tidak sihat bila menggunakan khidmat jin, hantu ataupun tangkal ini.
Jika sebelum ini nama pemancing dari Indonesia yang menetap di Malaysia sering dikaitkan dengan perkara-perkara sebegini bila sering memenangi pertandingan memancing air tawar yang dianjurkan di sekitar Lembah Klang, kini nama pemancing Pantai Timur pula menerima nasib yang serupa.
Menariknya bila melihat komen, ramai yang seolah-olah begitu mempercayai penggunaan tangkal, hantu dan jin ini untuk memenangi pertandingan memancing hinggakan ada yang bertanya bagaimana hendak mendapatkan khidmat perkara-perkara tahyul ini.
Hairan kan? Seolah-olah mereka dengan sewenang-wenangnya menidakkan rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita, malah ada pula yang berniat menyekutukannya.
Pada hemat peribadi penulis, isu tahyul seperti guna tangkal, jin, hantu laut untuk menang sesebuah pertandingan memancing ini tidak seharusnya kita percaya. Semuanya bergantung pada rezeki yang diturunkan kepada kita. Jika acap kali kita tewas di dalam pertandingan memancing, janganlah cepat berputus asa.
Cuba dapatkan seberapa banyak ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan sering menjuarai pertandingan memancing sebagai salah satu usaha kita untuk memperoleh kejayaan. Selebihnya ia tetap terletak pada rezeki masing-masing. Janganlah akibat rasa cemburu, iri hati dan sebagainya kita mengeluarkan dalil-dalil fitnah yang secara tak langsung mampu mengguris hati sesetengah pihak dan pada masa yang sama ia mampu memesongkan akidah kita sendiri.
Apa kata netizen:
“Tu semua karut-marut. Sebagai pemancing tegar akan tau cara-cara hendak memancing. Ikan apa yang hendak dipancing, umpan apa yang hendak dipasang. Kena dengan cara dan teknik yang betul akan membuahkan hasil. Dan rezeki itu datang dari Allah. Saya pun pernah menang dalam pertandingan memancing tapi tak ada jampi serapah apa-apa pun. Hanya joran, umpan saja yang dibawa.”
- HANAFI NAFI
“Pernah nampak masa game ada sebatang rod diikat kain kuning tapi bangau le jugak. Huhu. Paling utama adalah rezeki. Pakailah Shimano Stella sekalipun kalau takde rezeki ikan dah naik atas darat pun boleh terjun balik.”
- FAIZAL PEJE
“Aku tengok game Seri Bayu takde orang yang sama menang pun. Skill dan rezeki penentu. Tapi kalau orang yang sama asyik dapat ikan tu aku percaya, sebab umpan dan teknik dia berkesan, bukan sebab hantu belaan.”
- MOHD SAIFUL NIZAM
“Sihir, Jin dan Syaitan itu perkara yang haq akan wujudnya. Dalil al-Qur’an mengenai wujudnya sihir; Surah Al- Baqarah ayat 102, Surah Yunus ayat 77, 81 dan 82 serta banyak lagi dalam Surah Taha, Surah al-A’raaf dan lain-lain. Tidak mustahil ada penggunaan ilmu hitam dalam pertandingan memancing yang berprestij, lantaran semua pemancing (lagi-lagi pemancing tegar) tahu hadiah yang menjadi habuan bagi kejuaraan kejuaraan ini amat lumayan.
Memang dikalangan komuniti pemancing akan wujud golongan-golongan yang tamak dan tidak akan teragak-agak menggunakan pendekatan ilmu hitam ini sebagai jalan singkatnya. Wallahu’alam.”
- PAHLAWAN PADANG PASIR
“Untuk pemancing yang sudah biasa masuk game semua sedar ia berkaitan teknik, fokus dan kesungguhan. Tuduhan pakai jin dan hantu ni biasanya keluar dari mulut kalangan pemancing yang tak berminat masuk game. Mereka tak faham dan tahu situasi sebenar pertandingan. Sebilangan kecil sahaja bukan semua.”
- MAHYUDIHISHAM MOHDSAID
“Memang betul asyik orang yang sama je jadi juara. Tak pasti dia orang manderam ke tidak. Tapi sepanjang saya mengikuti XTVT ni, bermacam cara digunakan, petua dan amalan-amalan tertentu diamalkan. Terpulang pada seseorang tu utk mengamalkan yang putih atau hitam. Tepuk dada tanya iman.
Orang-orang yang handal dalam mencari rezeki di air pun kecundang bila masuk bertanding. Tak tau kenapa. Paling senang jawapannya belum rezeki.
Pada saya berusaha dan bertawakal. Berusaha menyediakan peralatan perang yang terbaik dengan umpan yang terpilih, bertawakal, berdoa dan berserah kepada Allah.”
- SAFARI
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.