Sebagaimana ikan sebarau yang dipanggil badong berdasarkan saiznya yang besar, ikan patin jugak ada nama dan gelaran tersendiri. Berikut disenaraikan nama-nama panggilan ikan patin yang kebanyakannya dicipta di kolam pancing.
Patin Selipar
Patin selipar bukanlah bermakna ikan patin memakai selipar atau diperbuat daripada getah atau isinya liat seperti selipar. Sebaliknya ia merujuk kepada ikan-ikan patin bersaiz kecil. Lazimnya ikan patin yang bersaiz kurang dari 2 kg di mana saiz-saiz ikan tersebut hampir menyamai saiz selipar. Ia bolehlah dianggap sebagai ikan pengacau kerana sering mendahului ikan-ikan lain bersaiz besar mengambil umpan.
Patin Rempit
Rempit cukup sinonim dengan kelajuan. Begitu juga sifat ikan patin yang mampu memecut laju seperti merempit. Namun tabiat ini tidak berlaku kepada semua patin. Dikatakan ikan-ikan patin dalam lingkungan berat 3 hingga 5 kilogram memiliki daya pecutan yang mengelirukan. Justeru itu ikan-ikan patin dalam saiz begini dilabel sebagai patin rempit.
Patin Aboh
Patin abah atau lebih banyak banyak disebut sebagai patin aboh bukanlah merujuk kepada status atau pangkat. Bukan juga bermaksud patin yang sudah melepasi zaman kematangan atau sudah menghasilkan baka. Sebaliknya ia lebih merujuk kepada saiz ikan yang besar. Lazimnya ikan patin bersaiz melebihi 7 atau 8 kilogram dipanggil patin aboh.
Patin Jackpot
Perkataan podium amat sinonim dengan pertandingan. Tetapi bukanlah bermakna patin podium merupakan patin yang pernah menjuarai pertandingan. Sebaliknya patin yang bakal atau mampu menduduki podium utama. Saiznya pula bergantung kepada purata patin terberat di sesuatu kolam. Sekiranya di kolam itu memiliki patin terberat melebihi 10 kg dan anda berjaya mendaratkan patin dalam radius saiz tersebut maka patin tersebut dianggap sebagai patin podium atau jackpot.
Patin Thai
Dalam sukan memancing juga ada pemain import sebagaimana liga bola sepak. Ia lazimnya merujuk kepada ikan-ikan patin yang dibawa masuk dari Thailand. Terdapat dua jenis patin import yang popular dan menjadi spesies tarikan kebanyakan kolam pancing air tawar iaitu patin Mekong dan patin Chaophraya. Kedua-duanya mampu membesar dan bertenaga mengatasi patin tempatan.
Patin PKP
Spesies terbaharu yang boleh ditemui bukan saja di kolam-kolam pancing komersial tapi jugak di habitat liar seperti lombong terbiar. Akibat tiada aktiviti memancing di kolam pancing dah juga di lombong, ikan-ikan patin kehilangan sumber makanan sekaligus menyebabkan majoriti patin menjadi kurus kering.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.