Sebelum korang nak terjun ke dalam dunia hobi orang tahap bangsawan ni, baik korang kaji balik niat korang kerana banyak dugaan dalam dunia hanyir ni.
Mabuk Laut
Risiko yang kerap terjadi kepada kaki pancing yang tidak biasa atau tidak selalu turun memancing di laut. Kepada yang alah dan mabuk laut, tetapi mahu turun memancing di laut, persediaan perlulah dilakukan dengan baik.
Telan pil tahan mabuk setengah atau sejam sebelum menaiki bot. Selain itu elakkan makan makanan yang berminyak dan berlemak sebelum menaiki bot.
Rehat dan tidur yang cukup sebelum trip ke laut adalah tonik terbaik sebelum anda seronok memancing tanpa diganggu mabuk laut. Buat persiapan awal setup memancing.
Ancaman Haiwan
Pertembungan dengan binatang buas dan serangga berbisa perlu dielakkan. Namun suka atau tidak ia merupakan kemungkinan yang tinggi berlaku. Perkara paling asas adalah sentiasa bawa pisau atau parang ketika berjalan di dalam hutan.
Elakkan berkhemah atau berjalan di jalan dan lokasi yang berisiko. Menabur belerang sekitar khemah, mampu menghindar dari kehadiran ular, kala jengking, lipan daripada memasuki khemah. Pasang unggun api sekiranya berkhemah dan bermalam di dalam hutan.
Risiko Kena Sengat
Sesetengah ikan seperti sembilang, toman, keli, malong, tenggiri, duri, tuka, pari, alu-alu mampu mendatangkan kecederaan sekiranya tidak dikendalikan dengan baik sewaktu berjaya memperolehnya. Sengat duri sembilang misalnya cukup berbisa jika terkena tangan dan perlu gunakan playar untuk memotong durinya. Gunakan juga gancu, sauk atau lip grip ketika mengendalikan ikan-ikan jenis berduri dan bersengat ini.
Risiko Kecederaan
Sentiasa berhati-hati ketika memancing di kawasan yang licin dan berbatu-batu. Gunakan kasut yang sesuai yang tapak kasutnya mampu memijak dengan baik. Sukar digambarkan sekiranya berlaku terseliuh atau lebih parah lagi patah ketika memancing di kawasan hutan pergunungan, tebing atau pinggir pantai berbatu.
Elakkan memancing atau pergi di kawasan yang berbahaya dan pastikan kasut dan pakaian yang sesuai untuk mengelak kecederaan. Untuk kawasan memancing yang tiada liputan telefon, pemancing atau grup trip berkenaan perlu ada telefon satelit bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Mangsa Kecurian
Barangan peribadi seperti telefon bimbit, kamera antara gajet yang majoritinya kaki pancing akan bawa setiap kali memancing. Kaki pancing perlu bersedia dengan beg kalis air untuk melindungi dua barangan ini dari terkena hujan atau jatuh ke dalam air.
Elakkan meninggalkan kereta di kawasan yang terpencil dan dalam tempoh yang lama tanpa sebarang pengawasan. Kes tayar kereta hilang dicuri, kereta di pecah masuk atau hilang antara kes-kes yang pernah berlaku. Jangan jadikan anda mangsa keadaan.
Ancaman Kumpau
`Kumpau` atau `kumpau berdarah` adalah istilah terma yang masyhur dan sering diguna pakai dalam hobi ini bila tidak dapat ikan. Ia adalah risiko yang kaki pancing perlu sedar. Ingat, hobi memancing bukanlah satu bentuk pekerjaan, sebaliknya ia lebih kepada satu hobi yang mampu memberi keasyikan dan ketenangan diri pada ketika bertarung menaikkan ikan buat insan-insan yang terpilih.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.