Kenali 4 Spesies Katak Tempatan

 

Sebenarnya banyak jenis katak yang ada tetapi 4 jenis ini ialah katak yang biasa dijumpai berkongsi persekitaran dengan kediaman manusia.

 

 

Polypedates leucomystax (katak pisang / pokok)

 

Katak dewasa mempunyai warna kulit coklat kekuningan yang muda sehingga sedikit pekat. Bahagian atas tubuh spesies ini memiliki empat jalur yang berwarna gelap namun, tidak dimiliki oleh setiap individu.

 

 

Selain itu, spesies ini bertubuh langsing dan muncung yang tajam. Jari tangan spesies ini setengahnya berselaput manakala jari kaki sepenuhnya berselaput. Katak Pisang merupakan katak yang tidak beracun. Purata ukuran panjang muncung hingga dubur katak dewasa jantan adalah 50 mm dan betina 70 mm.

 

 

Katak pisang ini merupakan spesies arboreal yang hidup di kawasan tumbuh-tumbuhan dan berhampiran dengan sumber air yang bertakung, lopak air sementara, dan kurang terdedah daripada cahaya matahari.

 

Duttaphrynus melanostictus (kodok / katak puru)

 

Katak puru atau kodok biasa dikenali mempunyai kulit yang kering, kasar, menggerutu, dan berwarna kelabu kehitaman. Kaki belakang yang pendek dan saiz kepala yang lebih kecil berbanding saiz tubuh. Antara ciri khas yang jelas adalah kelenjar paratoid yang terletak di belakang mata.

 

 

Kelenjar paratoid ini akan mengeluarkan cecair berwarna putih yang bertoksik kepada haiwan pemangsa jika ianya merasa terancam sehingga menyebabkan kematian. Oleh itu, tidak digalakkan untuk memakan atau menyentuh cecair putih yang dirembeskan melalui kelenjar tersebut dikhuatiri akan memudaratkan manusia.

 

 

Namun, jika manusia tersentuh pada permukaan kulit kodok ini adalah selamat dan ianya tidak beracun. Purata ukuran panjang muncung hingga dubur katak dewasa jantan adalah 85 mm dan betina 115 mm.

Kodok selalu dijumpai di kawasan halaman rumah seperti rumput, jalan raya dan saliran air seperti longkang atau parit.

 

Kaloula pulchra (katak betong / bentong)

 

Spesies ini mudah dikenali melalui jalur tebal berwarna coklat dan oren yang memanjang dari kepala ke sepanjang sisi tubuh. Bukaan mulut yang luas, saiz kepala yang kecil, muncung yang tumpul, dan jari tanpa selaput yang panjang.

 

 

Katak bentong juga bertubuh gempal dan akan mengembang ketika merasa terancam dan mengeluarkan lendir yang melekit daripada kulitnya. Katak bentong dikategorikan sebagai katak yang tidak beracun. Katak dewasa jantan mempunyai purata ukuran panjang muncung hingga dubur sehingga 70 mm manakala katak betina 75 mm.

 

 

Beradaptasi tinggi di kawasan terganggu seperti kawasan berumput, lopak air, dan saliran air seperti longkang atau parit. Pada waktu siang, spesies ini akan bersembunyi di dalam lubang tanah, bawah timbunan daun, dan kadangkala rekahan bangunan.

 

Fejervarya limnocharis (katak minyak / rumput / sawah)

 

Katak ini memiliki bentuk muncung yang tajam, kulit yang agak berbintik-bintik, dan bentuk timpanum yang jelas. Warna kulit pada bahagian tubuh spesies ini didominasi oleh kelabu kehijauan dan coklat. Jalur kuning yang tebal pada bahagian atas tubuh kebiasaannya ditemui memanjang daripada kepala sehingga dubur, namun tidak dimiliki oleh setiap individu spesies tersebut.

 

 

Mempunyai kaki yang panjang, berotot, dan jari yang setengahnya berselaput. Katak spesies ini tidak beracun. Purata ukuran panjang muncung hingga dubur bagi katak dewasa jantan adalah 50 mm dan betina 60 mm.

Beradaptasi dengan baik di kawasan terganggu seperti sawah padi, taman permainan, ladang kelapa sawit, kawasan berumput, dan saliran air seperti longkang.

 

 


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply