Anugerah terindah bagi setiap wanita yang berumahtangga sudah tentunya bergelar seorang ibu. Sebagaimana perkongsian usahawan Datin Ayu Roslan ini.
Datin Ayu pernah mengharungi enam kali rawatan IVF (persenyawaan in-vitro) demi memiliki zuriat. Pengalaman beberapa kali melalui proses IVF benar-benar menguji emosi dan fizikal Datin Ayu.
Bagai nyawa di hujung tanduk, Datin Ayu tabah menghadapi dugaan yang tak terduga itu.
“Ketika usia perkahwinan mencecah lima tahun, saya dan suami berusaha untuk mendapatkan zuriat. Kami berjumpa doktor dan diberikan ubat hormon. Usaha tak menjadi. Doktor meminta kami terus berdoa.
“Waktu itu memang rasa frust sangat. Kemudian kami berjumpa doktor lain pula. Saya disarankan untuk buat rawatan IUI (persenyawaan dalam rahim). Usaha ini pun gagal.”
Tanpa menunggu lama, Datin Ayu memaklumkan kepada doktor yang beliau mahu terus ke rawatan IVF.
“Ini usaha terakhir saya. First IVF saya tukar doktor. Rawatan IVF ini sebenarnya menggalakkan penghasilan telur. Hasil rawatan itu saya mendapat 29 telur. Tapi yang disenyawakan 21 telur, dan 14 saja di’frozen’kan. 14 telur ni gred A embrio. Ia ditransfer dan Alhamdulillah saya hamil. Happy sangat.
“Namun kegembiraan itu tak lama. Lepas 4 bulan saya turun darah. Saya buat semula rawatan IVF selepas 3 bulan. I prepared my body, buat transfer tapi yang ini hanya bertahan 5 minggu saja.”
Waktu itu Datin Ayu merasa sangat kecewa kerana merasakan proses itu terlalu sukar.
“Emosi pun terganggu sampai masa tu saya rasa macam nak bunuh diri pun ada. Berat badan naik, dunia pun terasa gelap. Saya duduk rumah saja tak jumpa orang. Kemudian, saya pergi homeopati, akupuntur untuk pulih.”
Dalam tempoh empat bulan, Datin Ayu dan suami membuat perancangan baru dan bertemu doktor lain.
“With the same embryo, saya buat lagi dan akhirnya mendapat kembar lelaki dan perempuan. Saya gembira sangat. Sampailah 6 bulan, saya alami pendarahan.
“Seminggu saya di labour room dengan keadaan kaki upside down. Masa tu saya rasa mungkin dah nak mati sebab kontraksi yang sangat kuat. Doktor kata saya kena berada dalam posisi begitu sampai bersalin.
“Bila bersalin, bayi perempuan meninggal dalam perut dan yang lelaki sempat hidup tapi tak lama.”
Masih tidak berputus asa, Datin Ayu meneruskan rawatan baru tetapi kali ini dengan satu embrio sahaja manakala rahimnya dijahit.
“Alhamdulillah kali ini sempat 37 minggu. Bayi dilahirkan secara pembedahan. Kali ke-4 IVF barulah saya dapat merasa menjadi seorang ibu.
“Pertama kali saya dipanggil Mommy. Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu. Syukur sangat-sangat!”
KOS RAWATAN
Menurut Datin Ayu, kos rawatan ini bermula dalam lingkungan belasan ribu ringgit. Namun jika seorang wanita itu mempunyai masalah kesihatan contohnya cyst, kosnya mungkin berbeza.
“Tetapi sekarang dah banyak pusat-pusat IVF yang mendapat sokongan kerajaan. Insha-Allah, semoga doa pasangan-pasangan yang masih berusaha untuk mendapatkan zuriat dikabulkan,” doa Datin Ayu.
Kredit Foto: Instagram @allureayu
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.