Negara kita sendiri kaya dengan spesies ikan air tawar yang bernilai, tidak kira daripada segi harga pasaran, nilai kekuatan pertarungan ataupun kepuasan tersendiri saat menaikkan spesies yang sukar dipancing.
PATIN
Nama saintifik: Pangasius pangasius, P. sutchi, P. nasutus, P. gigas
Nama umum: Shark catfish, River catfish
Nama tempatan: Patin, Mekong, Patin buah, Patin muncung
Ikan patin merupakan spesies yang terkenal tidak kira sebagai hidangan atau pertarungan bagi pemancing di Malaysia. Patin liar boleh dijumpai di lombong atau sungai. Spesies ini sinonim dengan bandar Temerloh di Pahang sebagai hidangan dan bernilai tinggi.
Terdapat tiga spesies yang direkodkan berasal dari semenanjung iaitu patin buah (Pangasius nasutus), patin juara (P. micronemus) dan patin muncung (Helicophagus waandersii). Patin liar mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding patin sangkar atau ternak.
Bagi pemancing pula, selain patin liar, patin Mekong (Pangasionodon gigas) yang merupakan spesies berasal dari Thailand paling memberi kepuasan dalam pertarungan.
Selain itu, patin juga menjadi spesies penting dalam sektor akuakultur kerana mudah diternak. Sehingga kini terdapat lebih kurang 30 spesies dari tiga genus berbeza bagi ikan dari keluarga Pangasiidae ini.
Kaedah Memancing
Patin liar yang bersaiz besar biasanya mendiami lubuk-lubuk yang dalam di dalam sungai atau lombong. Ia bersifat omnivor dengan diet utama seperti cacing, lundi serangga, buah-buahan, ikan kecil dan udang.
Bagi pancingan di kolam, biasanya penggunaan roti, pellet dan dedak bersama perisa pandan atau strawberi sangat popular. Pelbagai resipi umpan untuk patin boleh didapati sekarang. Rajinkan bertanya kepada otai-otai kolam atau cuba adunan resipi sendiri untuk memikat sesies ini.
BAUNG
Nama saintifik: Mystus nemurus
Nama umum: Malaysian river catfish
Nama tempatan: Baung
Ikan baung merupakan antara spesies air tawar yang berasal dari Malaysia. Baung dikatakan mempunyai potensi besar dalam bidang akuakultur untuk diternak. Selain rasa yang agak lazat, baung juga menjadi spesies popular bagi pemancing. Secara morfologinya, baung mempunyai dua pasang barbel atau misai dibahagian kepalanya.
Habitat baung biasanya di sungai-sungai atau tasik yang besar. Selain itu, ia bersifat pemakan dasar yang memakan pelbagai jenis makanan termasuk invertebrata benthic, krustasia, ikan, udang dan serangga sebagai diet utamanya.
Kaedah Memancing
Waktu yang paling sesuai untuk memancing baung ialah pada waktu malam dengan teknik pancingan dasar. Antara umpan popular bagi menjerat baung di kalangan pemancing ialah cacing, perut atau kulit ayam, anak ikan dan umpan tapa.
Teknik pancingan asas sahaja sudah mencukupi untuk memancing baung dan kalau kena lubuknya, tak menang tangan nak melayan.
Selain pancingan dasar, ikan baung juga boleh dipancing dengan teknik mengilat dan trolling. Gewang yang berkesan untuk baung ialah gewang selaman dalam dengan karauan perlahan.
KENERAK
Nama saintifik : Bagarius bagarius
Nama umum : Devil catfish, Goonch
Nama tempatan : Kenerak, Hantu, Baung Bodoh, Baung Askar
Kenerak (Bagarius bagarius) atau baung kenerak antara spesies yang unik. Ia unik kerana warna badannya coklat kehijauan dan bertompok-tompok seakan pakaian askar. Selain itu, rupanya juga dikatakan agak menakutkan.
Namun begitu, Ia tetap menjadi buruan kerana sifat melawan serta rasanya yang sedap lantas mendapat permintaan yang tinggi. Kenerak biasanya mendiami kawasan yang berarus deras dan berjeram di celah-celah batu dan kayu.
Bagi saiz dewasa ia tinggal di kawasan yang dalam serta luas atau sederhana luas. Walaupun laporan dari luar negara menunjukkan kenerak bersaiz mega, namun di Malaysia, kenerak bersaiz belasan kilogram sudah semakin sukar ditemui melainkan saiz biasa.
Kaedah Memancing
Spesies ini lebih mudah dijumpai di kawasan sungai berbatu yang berarus deras atau berjeram. Umpan yang biasa digunakan hampir sama untuk memancing baung. Umpan anak ikan atau serangga juga menjadi pilihan kenerak.
Bagi kawasan luas seperti sungai berbatu, anda mungkin boleh menggunakan gewang untuk menjerat kenerak. Gunakan gewang selaman dalam dan warna terang kerana sifatnya yang tinggal di dasar.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.