Negara kita sendiri kaya dengan spesies ikan air tawar yang bernilai, tidak kira daripada segi harga pasaran, nilai kekuatan pertarungan ataupun kepuasan tersendiri saat menaikkan spesies yang sukar dipancing.
TEMOLEH
Nama saintifik : Probarbus jullieni
Nama umum : Jullien’s Golden Barb, Seven-stripes Barb
Nama tempatan : Temoleh, Temelian
Temoleh (Probarbus jullieni) merupakan antara spesies yang semakin jarang ditemui. Ciri utama ikan ini ialah ia mempunyai tujuh garisan hitam di badannya.
Mulutnya pula menghala ke bawah dan ini sesuai dengan tabiat makannya iaitu pemakan dasar dengan memakan tumbuhan akuatik, krustasia dan serangga.
Temoleh bersaiz dewasa berwarna kekuningan dan lebih terang berbanding temoleh kecil. Selain itu temoleh mampu mencapai berat sehingga 70kg ketika dewasa.
Kaedah Memancing
Ikan temoleh juga merupakan ikan sukan yang hebat kerana saiznya dan kekuatan melawan tali pancing. Biasanya temoleh dipancing dengan teknik pancingan dasar.
Setakat ini umpan yang popular menaikkan temoleh ialah umpan sawit dan ubi kayu peram. Bagi penggunaan sawit, teknik umpan sawit sate amat terkenal.
Sawit yang dipotong kecil kemudiannya dicangkukkan sebaris pada perambut dan mata kail seakan sate sebelum dicampakkan bagi menggoda temoleh. Biasanya kaki pancing akan menaburkan umpan berhari-hari sebagai ‘rasuah’ untuk ikan tersebut datang.
SEBARAU
Nama saintifik : Hampala macrolepidota
Nama umum : Hampala barb, Jungle perch
Nama tempatan : Sebarau, Badong (saiz besar)
Spesies ini mendapat jolokan ‘serigala’ bagi sesetengah kaki pancing mengilat akibat pecutannya yang laju, lincah dan agresif malah mampu meluruskan mata kail.
Sebarau (Hampala macrolepidota) merupakan spesies sasaran paling utama bagi mana-mana kaki pancing terutama pengilat di Malaysia.
Sebarau biasanya memilih kawasan berarus deras dan berbatu atau di celah-celahan tunggul atau kayu sebagai tempat bersembunyi dan mencari makanan.
Ia mudah dikenali dengan melihat jalur hitam menegak di badannya yang berkilau. Jalur ini akan hilang apabila sebarau membesar sekitar 3 kg, dan tatkala inilah ia digelar badong.
Sebarau akan naik ke hulu untuk senyawakan telur apabila tiba musimnya. Di Malaysia, Tasik Kenyir dan Royal Belum antara lokasi terbaik memburu sebarau pada setiap hujung tahun. Dalam keseronokkan memburunya, perlu sematkan konsep bag limit.
Kaedah Memancing
Untuk pancingan dasar, umpan hidup seperti anak ikan sesuai untuk memancing sebarau. Namun begitu, penggunaan cengkerik dan cacing juga boleh. Namun bagi pemancing tegar, menggunakan gewang, sesudu adalah terbaik untuk mendapatkan spesies ini.
Musim monsun, awal pagi dan lewat senja adalah waktu terbaik untuk casting. Manakala pilihan gewang dan sesudu perlu pelbagai mengikut lokasi dan cuaca, kerana sebarau mendiami hampir semua lokasi sungai dan tasik di negara ini.
TENGGALAN
Nama saintifik : Puntius bulu
Nama umum : Carp, Barb
Nama tempatan : Tenggalan
Ikan tenggalan atau nama saintifiknya iaitu Puntius bulu merupakan salah satu spesies ikan air tawar yang terkenal yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Isinya yang lembut, padat dan lazat membuatkan nialinya melambung tinggi.
Tenggalan juga dikenali sebagai spesies yang mempunyai daya renangan yang laju dan tinggal di kawasan sungai-sungai yang besar di Malaysia. Bentuknya sedikit lebar menyerupai ikan lampam. Tenggalan bersifat omnivor dan diet utamanya terdiri daripada tumbuhan kecil serta krustasea kecil.
Kaedah Memancing
Walaupun dikatakan agak sukar untuk memancing tenggalan, namun teknik pancingan tenggalan dan umpannya tidak banyak berbeza. Penggunaan umpan serangga atau kelapa sawit dengan mata kail bersaiz kecil mampu menjerat tenggalan.
Namun ia bergantung kepada lokasi dan lubuk yang dipancing, kerana tenggalan dikatakan agak culas menjamah umpan bagi sesetengah tempat. Ada pemancing menggunakan biskut sebagai umpan yang dipasang pada mata rambai.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.