Negara kita sendiri kaya dengan spesies ikan air tawar yang bernilai, tidak kira daripada segi harga pasaran, nilai kekuatan pertarungan ataupun kepuasan tersendiri saat menaikkan spesies yang sukar dipancing.
BEGAHAK
Nama saintifik : Belodontichthys dinema
Nama umum : Sheatfishes
Nama tempatan : Begahak, Gohok, Gerahak
Tidak banyak yang diketahui tentang spesies ini. Begahak (Belodontichthys dinema) mempunyai bentuk badan yang unik seperti tapah dan lais. Ia terkenal sebagai hidangan bagi kaum Cina dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.
Taburan lokasi spesies ini sering dikaitkan dengan di sepanjang Sungai Pahang di semenanjung selain di Sabah dan Sarawak serta Borneo. Tidak ada maklumat muktahir mengatakan wujudnya begahak di sungai-sungai lain di semenanjung.
Ia mendiami habitat sungai yang sederhana luas dan luas serta tinggal di kawasan yang berkedalaman tinggi serta pertengahan. Ia diketahui gemar memakan ikan-ikan kecil di permukaan sebagai diet utama.
Tip memancing
Ikan begahak juga merupakan ikan sukan yang bagus dan boleh ditangkap dengan joran. Pengilat lebih teruja kerana aksi hentaman gewang mengagumkan dari spesies ini.
Biasanya pemburuan begahak di Sungai Pahang bermula apabila kemarau atau sungai mulai surut. Harganya yang tinggi dan rasa yang sedap menjadi faktor utama kenapa ia diburu.
Penggunaan gewang selaman dalam dengan skema warna semulajadi menjadi pilihan utama di kalangan pengilat begahak.
TAPAH
Nama saintifik : Wallgo attu
Nama umum : Giant River Catfish, Wallgo, Lanchi
Nama tempatan : Tapah
Tapah merupakan antara spesies ikan air tawar gergasi. Ikan ini hidup di kawasan dasar sungai besar serta berlumpur. Spesies tapah juga terkenal dengan sifat pelahapnya dengan memakan ikan yang lebih kecil, krustasia dan moluska sebagai diet utama.
Ini menyebabkan ia mampu membesar mencecah sehingga 8 kaki panjang. Terdapat juga mitos yang terkenal ialah spesies ini mampu menyambar monyet atau kera yang bergayut dari permukaan air.
Selain itu, bandar Tapah di Perak juga mengambil nama sempena spesies ganas ini memandangkan ia sering muncul di kawasan sungai-sungai di Perak.
Tip memancing
Memancing tapah sesuai dilakukan ketika musim kemarau dan air sungai surut. Penggunaan umpan pilihan yang spesifik amat sukar ditentukan dek kerana sifat pelahapnya.
Malah kebanyakan pemancing mengatakan penggunaan hampir semua anak ikan sungai juga mampu menaikkan tapah selain anak keli dan udang galah. Anda boleh mencuba anak ikan sungai bergantung kepada keadaan dan lokasi sungai.
Di sungai yang dikatakan masih banyak tapah, pemancing biasanya akan menggunakan kaedah trolling.
BELIDA SUNGAI
Nama saintifik : Chitala lopis
Nama umum : Feather back, Knifefishes
Nama tempatan : Belida, belida sungai, belida putih, belida jawa
Spesies ini amat cantik dan bentuk badannya pula amat unik. Badannya pipih dengan saiz kepala yang kecil dan ekornya melengkung ke atas menghasilkan bentuk seakan sabit atau pisau. Habitat belida biasanya di sungai-sungai besar, tasik serta lombong.
Belida bersaiz kecil juga hidup di paya dan tali air yang bersambung dengan sungai. Antara lokasi taburan spesies belida ialah di kawasan Chenderoh, Bersia, Kenering, Sungai Kelantan, Tasik Kenyir dan banyak lagi.
Spesies belida bersifat nokturnal dan aktif pada waktu malam. Ia bersifat pemangsa dengan diet utamanya ialah udang dan ikan kecil. Belida lebih dikenali sebagai game-fish bagi pemancing kerana kekuatannya, namun begitu ia mempunyai potensi baik dalam sektor ikan hiasan.
Tip memancing
Belida biasanya mendiami lubuk tertentu dan gemarkan kawasan banyak reba dan kayu-kayuan. Bagi pancingan dasar, umpan yang paling sesuai pastilah umpan hidup walaupun ada yang pernah mendaratkan belida berumpankan sawit.
Anda boleh mencuba anak sepat, anak keli, seluang, udang atau ikan emas dan pastikan perambut agak panjang bagi umpan anda lebih bebas menggoda dengan gaya renangannya. Bagi pengilat, anda boleh mencuba gewang selaman dalam bersaiz kecil dengan padanan warna berkilau.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.