Kenangan Manis Memancing Bersama Nenek

 

Apabila pokok padi mula membuah atau sudah mula terbit dan air dari sawah mula dibuang ke parit, ia waktu yang menyeronokkan bagi saya, sebab ketika inilah waktu yang best memancing ikan puyu. Lagipun ketika ini, saiznya kasar dan besar-besar.

 

Biasanya saya akan mengikut nenek dan sepupu bila memancing. Daripada merekalah saya mendapat pengetahuan tentang betapa seronoknya memancing. Bila waktu ini, saya selalu berkunjung ke rumah nenek yang tidak jauh dari rumah saya.

 

Yang seronoknya bila saya datang, semua peralatan pancing telah pun sepupu saya sediakan sehinggalah bab nak pasang umpan cacing.

 

 

Kami akan berbasikal atau berjalan kaki di permatang berhampiran tanah sawah milik nenek. Bila ada lokasi berpotensi dan nampak deburan air, tanda ikan bermain, terus sahaja umpan dihulur.

 

Paling seronoknya, ialah bila ikan puyu menjamah umpan, hujung joran teleskopik melentur habis. Kadang-kadang, bila saya lambat sedikit je sentap, ikan puyu berjaya masuk ke celah pokok kangkung air. Ada kalanya, saya bersama sepupu berlumba siapa yang paling banyak berjaya menaikkan ikan.

 

Selain ikan puyu, ikan lain seperti haruan, selat dan keli juga berjaya saya naikkan. Sebenarnya nama-nama ikan ini saya ketahui dari nenek saya. Pernah saya terperanjat dan lari lintang-pukang sampaikan menangis sebab terkejut bila saya terpancing ular.

 

 

Tetapi nenek dan sepupu saya terus sahaja ketawa sebab katanya itu bukanlah ular, tapi sebenarnya belut yang telah pun memakan umpan saya. Kemudian barulah saya tahu, rupa-rupanya itu adalah belut, bukannnya ular dan boleh di makan.

 

Nenek selalu memberikan sihat kepada saya dan sepupu yang lain, memancing ini perlu sentiasa sabar, tidak boleh bising dan kena hormati hak makhluk lain. Kata nenek, kalau kita tidak mahu ikan tersebut, hendaklah lepaskannya semula. Begitu juga dengan saiz yang kecil, sebaiknya kita hendaklah lepaskannya semula.

 

 

Ikan puyu memang sedap dimakan, lebih-lebih lagi dimasak pedas, lemak, bahkan goreng pun sedap. Yang seronoknya, bila selesai memancing, nenek sudah tahu apa yang ingin dimasak. Selalunya apa yang nenek masak memang sedap.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply