Kenali Spesies Ikan Terpaling Curut

 

Secara rasminya sejenis ikan yang wujud di Australia dipanggil stout infantfish (Schindleria brevipinguis) diiktiraf sebagai ikan terkecil di dunia. Ikan halus berukuran hanya 7-8mm panjang dan berat beberapa milligram ini turut merupakan haiwan bertulang belakang (vertebrata) terkecil di dunia.

 

Oleh kerana saiznya yang begitu curut, tidak hairanlah mengapa kewujudannya tidak disedari biarpun sesudah 25 tahun terawet dalam botol alkohol di Muzium Australia. Tetapi sebab musabab ia tidak disedari bukanlah kerana saiznya, tetapi bentuknya itu.

 

 

Ikan terkecil ini sebenarnya bercampur aduk dengan ribuan larva ikan yang dikutip oleh para saintis muzium tersebut. Kewujudannya tidak disedari kerana ia tidak berpigmen dan mempunyai sedikit sirip yang lengkap. Itulah sebabnya ia kelihatan seperti larva ikan biasa.

 

Yang membezakan ia dari larva ikan lain cuma satu, ia mencapai kematangan seks semasa masih dalam dalam peringkat awal pembentukkannya. Oleh sebab itulah ia tidak membesar untuk menghasilkan telur atau sperma (agaknya sebab itu ia dipanggil ikan infantfish – ikan bayi).

 

 

Semasa membuat penyisihan rutin ke atas larva ikan yang dikutip dari lagun Pulau Lizard di Terumbu Penghalang Besar Tom Trinski (penyelidik muzium Australia) terperasan ada telur-telur di sebalik dinding badan seekor larva yang jernih.

 

Penemuan penting itu kemudiannya tersiar dalam akhbar, menyebabkan media antarabangsa menyerbu muzium tersebut.

 

Strategi pembiakan infantfish adalah pelik kerana haiwan juvenil ini mampu membentuk ciri-ciri dewasa. Ia dikenali sebagai paedomorfik atau neotenous yang juga adakalanya terdapat pada haiwan lain. Contoh terbaik ialah ikan berjalan Mexico atau Axolotl.

 

 

Oleh kerana ia terlalu kecil dan cepat matang, patut ditanya berapa lamakah ikan sekecil ini boleh hidup? Biarpun ikan ini belum diketahui umurnya, namun saudara terapatnya yang tinggal di Jepun didapati mencapai kematangan dalam masa 23 hingga 60 hari.

 

Dalam satu kajian terhadap satu lagi ikan tropika terkecil iaitu ikan goby karang kerdil (yang hanya membesar kepada 2cm), dianggarkan (mengikut kiraan lingkaran tumbesaran harian pada tulang telinganya) spesies ini mungkin berjangka hayat hanya 59 hari.

 

 

Walaupun angka ini perlu disahkan, namun besar kemungkinan ikan kecil seperti infantfish hidup sekejap dan mati cepat.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply