Ikan pendatang ditafsirkan sebagai spesies ikan yang bukan berasal di tempat tertentu namun diperkenalkan atau dibawa masuk ke perairan tersebut. Kebanyakan kita beranggapan ikan pendatang merbahaya, namun tidak kesemuanya mempunyai kesan negatif.
Perlu diingatkan tujuan diperkenalkan pada peringkat awal semua bertujuan positif. Yang tinggal hanyalah bagaimana pengawalan itu dilakukan terhadap spesies yang dibawa masuk.
Kap Rumput
Nama lain: Grass carp
Nama Saintifik: Ctenopharyngodon idella
Negara asal: Asia; China sehingga sistem Sungai Amur di timur Siberia
Kap rumput merupakan antara cyprinid yang besar dalam keluarganya. Awalnya, spesies ini diperkenalkan sebagai salah satu sistem kawalan biologi kerana ia memakan tumbuhan akuatik.
Oleh kerana sifat pemakanannya yang rakus, kap rumput juga mampu memakan semua tumbuhan akuatik lantas menyebabkan masalah pada ekologi habitat. Selain itu, spesies ini juga akan bersaing dengan spesies tempatan selain membawa parasit seperti Asian tapeworm (Bothriocephalus opsarichthydis) yang boleh menambahkan lagi kesan lain jika terlalu banyak.
Kap Perak
Nama lain: Silvercarp
Nama saintifik: Hypophthalmichthys molitrix
Negara asal: Asia; China dan Timur Siberia
Kap perak diperkenalkan dibanyak kawasan perairan bagi tujuan akuakultur dan juga kawalan biologi untuk mengawal fitoplankton yang tidak terkawal. Seperti ikan tongsan, kap perak juga memberi masalah mengurangkan kadar zooplankton yang merupakan makanan ikan kecil jika tidak terkawal selain membawa penyakit Salmonella typhimurium.
Rohu
Nama lain: Ruee, Labeo
Nama Saintifik: Labeo rohita
Negara asal: Asia; Pakistan, India, Bangladesh
Ikan rohu diperkenalkan di perairan negara kita sebagai sumber makanan. Bagi aktiviti pancingan sukan, ikan rohu juga diklasifikasikan sebagai antara ikan popular terutama di kolam-kolam dan lombong.
Spesies ini dikatakan tidak mempunyai rekod yang menunjukkan ancaman yang tinggi kepada ekosistem, jadi kebanyakan kolam-kolam pancing berbayar menggunakan spesies ini sebagai antara spesies utama di kolam mereka. Ikan ini menjadi pilihan kerana ia mudah dibiakkan secara komersial.
Kap Kepala Besar
Nama lain: Bighead carp, Kap kepala besar
Nama Saintifik: Hypophthalmichthys nobilis
Negara asal: China
Ikan kap kepala besar ini merupakan spesies natif di China. Spesies ini diperkenalkan ialah bagi tujuan sektor akuakultur. Spesies ini juga diperkenalkan bagi kawalan biologi kerana kemampuannya mengawal pertumbuhan melampau fitoplankton.
Secara negatifnya pula, spesies ini berkeupayaan untuk menurunkan bilangan diversity natif atau asal akibat pengurangan zooplankton yang melampau lantas mengubah jaringan pemakanan sesuatu ekosistem. Selain itu, spesies ini juga berpotensi mengancam spesies tempatan kerana pembawaan dan penyebaran penyakit.
Likoh
Nama lain: Common carp, Lee koh, Koi
Nama Saintifik: Cyprinus carpio
Negara asal: Eropah sehingga Asia; China, Bulgaria, Hungary
Ikan kap ketika awal diperkenalkan bertujuan sebagai sumber makanan dan protein. Ikan kap telah diternak selama 2500 tahun dahulu merupakan spesies yang popular sebagai ikan hiasan dan sebagai ikan buruan pemancing.
Ikan kap juga merupakan spesies ketiga yang paling popular diperkenalkan ke habitat baru. Namun sifatnya yang sering membalikkan sedimen di dasar dan mencabut makrofit akuatik boleh mengakibatkan perubahan ekosistem dan memberi kesan kepada spesies tempatan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.