Banyak Berdikari Sendiri Masa Hamil, Ibu & Kakak Sentiasa Jadi Peneman!

Menjalani tempoh kehamilan selama sembilan bulan sendirian bukan mudah jika tanpa sokongan dari suami.

Namun bagi pelakon, Uqasha Senrose yang kini sedang hamil dia ditemani ibu dan adik beradiknya yang setia menemaninya sepanjang hamil memandangkan suaminya, Kamal Adli terikat dengan jadual lakonan yang padat.

“Sepanjang tempoh kehamilan ini Kamal terbabit dengan penggambaran di luar daerah dan pada masa sama saya juga terbabit dengan penggambaran drama.

“Sebab terlalu risaukan saya, Kamal minta ibu dan kakak temani saya dan kami berhubung setiap hari,” kongsinya.

Tambah bakal ibu ini dia juga berdebar-debar untuk melahirkan cahaya mata sulungnya nanti malah cukup bersyukur kerana tidak mempunyai sebarang alahan sepanjang hamil.

“Saya bersyukur kerana tiada sebarang alahan sepanjang tempoh hamil ini tetapi saya cukup gementar untuk bersalin nanti kerana tiada pengalaman sebelum ini.

“Kalau boleh saya juga nak bersalin normal nanti,” kongsinya lagi.

Bercerita soal jantina bayi sulungnya, Uqasha dan Kamal masih belum mahu berkongsi jantina anak mereka sebaliknya hanya mahu berkongsi dalam masa majlis doa selamat selepas bersalin nanti.

“Saya dan Kamal sepakat tidak mahu mengetahui jantina bayi kami sampailah melahirkan kelak.

“Kami juga akan umumkan dalam satu majlis khas dan doa selamat nanti,” katanya lagi.

Semoga dipermudahkan urusan Uqasha sehingga detik melahirkan bayinya kelak.

Terdahulu, Uqasha dan Kamal mendirikan rumahtangga pada 5 November 2021. Uqasha pernah dua kali keguguran ketika awal perkahwinannya serta penghujung 2022.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply