Bukan Tubuh Isteri Yang ‘Rosak’ Selepas Caesar, Tetapi Pemikiran Kamu – Dr Say

Tular di laman sosial tangkap layar mesej diantara sepasang suami isteri, di mana suami itu tidak boleh menerima kenyataan tubuh isterinya ‘rosak’ selepas terpaksa menjalani pembedahan caesar bagi melahirkan anak mereka.

Berang dengan perkara itu, si suami langsung mengugut untuk berkahwin lain susulan tidak boleh menerima ‘kerosakan’ isteri akibat pembedahan caesar.

Susulan itu, doktor selebriti Dr Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr Say Shazril tampil menempelak tindakan suami berkenaan menerusi sebuah hantaran video di Instagramnya.

“Saya cukup triggered dengan lelaki yang cetek akal dan ilmu macam ini,” ujarnya.

“Kamu patut bersyukur isteri dan anak kamu masih hidup, bro. Dungu,” kata Dr Say lagi merujuk kepada suami berkenaan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Dr Shazril Shaharuddin (@say_shazril)

Menurut penjelasan Dr Say, pembedahan caesar kecemasan adalah satu keadaan yang mana ibu mengandung harus bersalin secara pembedahan dalam keadaan getir kerana dikhuatiri akan membahayakan nyawa ibu atau kandungan jika proses bersalin itu dibiarkan lebih lama.

Mengimbau pengalaman peribadinya sendiri, anak pertama Dr Say juga dilahirkan secara pembedahan caesar kecemasan.

“Anak pertama saya lahir secara emergency caesar sebiji macam kisah wanita ini yakni bayi lemas, yang mana denyutan jantung bayi lemah dan bila dibedah ada tali pusat melilit leher anak saya sebanyak dua kali (lilitan),” kongsi Dr Say.

Tambah Dr Say, tiada doktor di dunia akan sewenang-wenangnya menyuruh seorang ibu yang sarat mengandung untuk bersalin melalui kaedah itu kerana risiko pembedahan lebih besar berbanding bersalin biasa.

“Tujuan utama emergency caesar adalah untuk mengurangkan risiko dan memastikan hasil yang terbaik untuk ibu dan juga bayi,” jelasnya lagi.

Foto: Tangkap layar perbualan suami isteri yang tular di media sosial.

Dr Say turut menafikan dakwaan suami berkenaan yang tubuh isterinya sudah ‘rosak’ akibat bersalin secara pembedahan caesar.

“Celah mana yang rosak? Doktor akan jahit tujuh lapisan yang dibedah itu dengan kemas dan teliti sebab kalau ada lapisan yang tak dijahit dengan kemas, ada pelbagai komplikasi boleh terjadi macam pendarahan, jangkitan kuman, luka terbuka dan banyak lagi.

“Yang rosak itu pemikiran kamu, bro,” ujar Dr Say merujuk kepada suami berkenaan lagi.

Oleh itu, Dr Say beranggapan semua ibu yang melahirkan anak wajar diraikan sama rata tanpa mengira mereka bersalin secara kaedah biasa, pembedahan caesar kecemasan, atau pembedahan ceasar elektif.

Dr Say percaya yang jika proses mengandung hingga bersalin, bahkan pemulihan selepas bersalin diberikan kepada kaum lelaki, belum tentu lelaki mampu melaluinya.

Sumber: Instagram Dr Say Shazril

BACA: Dr Say Ajar Cara Mudah Uji Tanda Autism Pada Bayi

 

Comments

Leave a Reply