“Tiada Rezeki Anak, Apa Susah Kahwin Lagi,” – Pakar Jelaskan Kenapa Rawatan IVF Lebih Bermanfaat!

Anak itu rezeki dari Allah dan konsep rezeki itu maha luas. Jika anda masih belum dikurniakan rezeki anak pada hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik menanti di kemudian hari. Selama mana pun kita menunggu, berikhtiar dan InshaAllah suatu hari nanti segala usaha bakal membuahkan hasil.

Terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan selain berkahwin lagi satu. Malah, bukan semua perempuan mampu menerima dan ikhlas menjalani kehidupan bermadu. Justeru, antara ikhtiar tradisional yang boleh dilaksanakan adalah seperti berurut membetulkan peranakan dan memakan buah zuriat.

Tapi tahukah Nonarians, apakah punca masalah kesuburan ini? Nona mendapatkan penjelasan Pakar Perbidanan & Sakit Puan Hospital Pakar Regency, Dr. Thokha Muhammad berkaitan hal ini.

Dianggarkan tidak kurang dari 15% daripada jumlah penduduk dunia yang tidak subur atau mandul. Keadaan yg sama juga berlaku di Malaysia. 30% kemandulan adalah berpunca daripada suami, 30% daripada isteri, 30% daripada kombinasi suami dan isteri dan 10% adalah dari punca yang tidak diketahui.

Mujurlah rawatan kesuburan pada hari ini tidak lagi serumit dahulu. Jika sebelum ini, rawatan kesuburan banyak tertumpu kepada mencari punca kenapa seseorang itu tidak mampu hamil. Banyak masa yang dihabiskan.

Walaupun akhirnya mungkin punca diketahui, tetapi penantian yang begitu lama menyebabkan kebanyakan pasangan berputus asa dan tidak meneruskan dengan rawatan.

PUNCA KEMANDULAN

  • Kualiti sperma yang rendah (oligospermia) atau tiada (azoospermia).
  • Endometriosis.
  • Fibroid.
  • Tiub fallopian tersumbat.
  • Sindrom ovari polisistik.

Secara asasnya, seorang wanita tidak hamil kerana ovum (benih wanita) dan sperma (benih lelaki) tidak dapat berjumpa.

Pada sesi pertama di klinik, beberapa perkara rutin akan dijalankan seperti mengetahui sejarah ringkas berkenaan kemandulan, ujian analisis sperma, pemeriksaan ultrasound pelvis untuk memastikan tiada unsur-unsur seperti sista ovari, fibroid atau hydrosalphine (tiub yang bengkak/tersumbat yang boleh menjejaskan kesuburan wanita) serta ujian darah untuk hormon-hormon tertentu.

SYARAT HAMIL

Suami mempunyai sperma dan hidup.
Wanita mempunyai ovari yang mampu menghasilkan telur/ovum.
Wanita mempunyai rahim yang mampu membesarkan janin.

Pasangan akan diterangkan bahawa terdapat tiga kaedah rawatan kesuburan dengan kos dan kadar kejayaan yang berbeza.

Ketiga-tiga kaedah bermula daripada permulaan yang sama iaitu rangsangan ovari untuk membesar dan mematangkan telur. Setelah ia tercapai, pasangan yang dirawat boleh memilih kaedah rawatan yang diingini.

[1] Kaedah Natural (Peluang 5-10%)

Keadaan untuk mencapai kehamilan dilakukan dengan cara merangsang ovari untuk menghasilkan beberapa telur/ovum yang kemudian dimatangkan dan ditetaskan. Pasangan akan dimaklumkan untuk bersama pada waktu subur supaya seks secara semula jadi agar peluang untuk hamil lebih tinggi.

[2] Kaedah Separa Natural atau Permanian Berhadas/Intrauterine Insemination (IUI) (Peluang 10-20%)

Ovari dirangsang untuk membesar dan mematangkan beberapa biji telur. Penetasan telur akan dirancang. Sperma suami diproses dan diolah, kemudian di deposit ke dalam rahim isteri dengan harapan sperma dapat berenang ke dalam tiub fallopian untuk bertemu dengan telur/ovum.

Persenyawaan berlaku di dalam tiub fallopian. Embrio yang terbentuk akan digerakkan ke dalam rahim untuk tujuan implantasi.

[3] Kaedah Artifisial atau Bayi Tabung Uji/In vitro Fertilisation (IVF) (Peluang 50-60%)

Sperma dan ovum disenyawakan di luar dan kemudian dimasukkan semula ke dalam rahim untuk dibesarkan. Keseluruhan proses natural sebelum proses implantasi akan dilangkau (bypass). Rawatan dimulakan pada hari ke-2 haid. Suntikan hormon setiap hari di lemak perut (seperti suntikan insulin) selama 10 hari.

Telur yang matang akan disedut menggunakan jarum melalui faraj dengan bantuan ultrasound. Kaedah ini dilakukan dengan bius sepenuhnya.

Telur yang matang akan disenyawakan dengan sperma di makmal dan diinkubasi pada suhu 37 darjah Celsius. 2 hari kemudian, 2-3 embrio yang terbentuk akan dimasukkan semula ke dalam rahim. Embrio yang selebihnya akan dibekukan untuk kegunaan akan datang.

PELUANG

Hakikatnya tanpa rawatan, terdapat 15 pasangan bagi setiap 100 pasangan yang tidak akan berpeluang mendapat zuriat. Ini adalah satu jumlah yang besar.

“Kita beruntung hidup pada zaman di mana rawatan kesuburan adalah serba canggih dan mampu memberi kejayaan yang tinggi. Pada suatu ketika dahulu, rawatan IVF tidak mungkin dapat dikecap oleh kebanyakan pasangan kerana kosnya yang terlalu tinggi,” ujar Dr. Thokha.

Pada masa kini, dengan kos di antara RM15,000 ke RM20,000, kebanyakan pasangan berpeluang mendapat zuriat yang dinanti-nantikan. Secara logiknya, jika kos bukan menjadi penghalang, IVF sepatutnya menjadi pilihan utama bagi setiap pasangan.

IVF yang dilakukan oleh pasangan muda akan memberikan kejayaan yang lebih tinggi kerana embrio yang terbentuk berkualiti tinggi berbanding dengan pasangan yang lebih lanjut usia.

Embrio muda yang dibekukan boleh digunakan berulang kali dengan kejayaan yang tinggi dan dengan kos yang lebih rendah pada masa yang akan datang.

Untuk mengulangi prosedur IVF menggunakan embrio yang telah dibekukan, kos menjadi lebih murah (sekitar RM5,000). Dengan kejayaan 50-60%, setiap pasangan yang menggunakan kaedah ini kebanyakannya akan berjaya hamil.

Diharap apabila kaedah IVF suatu ketika nanti sudah menjadi pilihan utama pasangan untuk mendapat zuriat, kemandulan akan dapat dirawat sepenuhnya dan hampir setiap pasangan akan berpeluang mendapat anak.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply