Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal bakal mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung majlis pernikahannya yang berlangsung secara tertutup, kelmarin.
Syasya memaklumkan peminatnya layak untuk mendapat penjelasan berhubung pernikahan dengan jejaka pilihan hati yang sehingga kini tidak didedahkan identitinya.
“Kesayangan saya semua (peminat) layak untuk penjelasan yang rasmi. Sabar sekejap ya semua,” coretnya ringkas menerusi aplikasi X.
Menerusi ciapan berbeza, gadis berusia 23 tahun itu turut memuat naik beberapa keping foto pernikahannya.
Rata-rata memuji kecantikannya yang manis dalam persalinan serba putih sedondon dengan suami tercinta.
Malah, ada juga yang menyokong keputusannya untuk menarik diri daripada Dolla kerana mahu mendirikan rumah tangga.
Semalam, Syasya mengejutkan ramai apabila mengesahkan selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya dalam sebuah majlis yang hanya dihadiri keluarga dan sahabat terdekat.
Berita gembira itu dikongsi syarikat rakaman, Universal Music Malaysia (UMM) melalui kenyataan media.
Terdahulu, industri seni tanah air dikejutkan dengan berita pengunduran Syasya menerusi hantaran dalam akaun rasmi mereka pada 8 Mac lalu.
Syasya sehingga kini tidak mengeluarkan sebarang respons berhubung keputusannya menarik diri selepas lebih lima tahun bersama Dolla.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: X Syasya Rizal
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.