TikTok sedia menawarkan integrasi perkhidmatan BNPL Atome sebelum ini, membolehkan pengguna melakukan pembelian dan seterusnya melakukan pecahan untuk membayar secara ansuran. Tidak setakat itu, kini TikTok Malaysia turut telah mula memperkenalkan perkhidmatan TikTok PayLater secara berperingkat kepada pengguna Malaysia. Semakan mendapati ciri ini telah mula diaktifkan sejak 28 Oktober 2024 untuk pengguna Malaysia.
TikTok PayLater merupakan pilihan pembayaran ansuran yang memberikan akses kepada nilai sehingga RM10,000. Pengguna juga boleh melakukan pemilihan untuk membayar balik dalam masa tempoh sehingga 12 bulan.
Sejumlah pengguna tempatan telah mula menerima pilihan untuk memohon akses TikTok PayLater ini. Pengguna seterusnya akan perlu memberikan informasi seperti pekerjaan dan pendapatan bulanan, yang kemudiannya akan menentukan nilai kredit yang ditawarkan TikTok PayLater.
Ketika melakukan pembayaran menggunakan TikTok PayLater, ia turut memaparkan nilai bayaran bulanan serta kos yuran tambahan yang disertakan bersama dengannya. Tiada caj dilihat dikenakan untuk bayaran kemudian secara penuh dalam tempoh sebulan, tetapi caj dikenakan untuk bayaran secara ansuran. Pihak TikTok tidak menyatakan perkhidmatan ini patuh syariah atau sebaliknya.
Selain TikTok, perkhidmatan edagang Shopee turut menawarkan ciri lebih kurang sama dinamakan SPayLater. Pada awalnya, SPayLater dikritik kerana menyediakan perkhidmatan tidak patuh syariah di Malaysia – membawa kepada perubahan kaedah Shopee mengenakan denda bayaran lewat, serta caj tambahan lain.
Pada masa yang sama, sebelum ini, analisa memperlihatkan terdapat sekitar 3.7 juta pengguna aktif perkhidmatan BNPL di Malaysia, yang majoritinya berumur antara 21 tahun ke 45 tahun. Dalam mengawal selia perkhidmatan seumpama ini supaya tidak memberikan kesan kepada pengguna dalam jangka masa panjang, sebuah RUU Kredit Pengguna akan dibentang kerajaan tidak lama lagi – sekaligus memastikan semua pihak menjalankan tanggungjawab dengan baik demi kebaikkan pengguna, serta mengawal selia penyedia kredit bukan bank.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.