Restoran, rumah kediaman jadi stor simpanan barangan kawalan bersubsidi diserbu

Anggota penguatkuasaan KPDN menyita minyak masak peket bersubsidi dalam rumah kediaman pemilik restoran melebihi had simpanan yang dibenarkan. Anggota KPDN menemukan 205 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dalam rumah kediaman pemilik restoran melebihi had simpanan yang dibenarkan. Foto KPDN Pahang

BERA – Sebuah restoran dan rumah kediaman yang disyaki dijadikan lokasi penyimpanan barangan kawalan bersubsidi diserbu serentak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang pada Sabtu.

Serbuan yang dilakukan oleh dua pasukan terdiri daripada anggota KPDN Kuantan dan KPDN Cawangan Bera di dua premis terbabit kira-kira jam 10 pagi.

Kedua-dua premis terbabit dimiliki pemilik yang sama menjadi sasaran operasi penguatkuasaan selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung kegiatan itu.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, hasil semakan mendapati terdapat bekalan gula bertapis kasar di premis restoran dan minyak masak peket bersubsidi di dalam rumah kediaman pemilik restoran melebihi had simpanan yang dibenarkan.

Menurutnya, pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan bagi pemilikan barang kawalan bersubsidi tersebut.

“Sebanyak 205 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dan 20 kg gula putih bertapis kasar serta dokumen-dokumen perniagaan lain yang berkaitan disita untuk tujuan siasatan.

“Dua kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan melebihi had yang disyaratkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jezlily turut memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Kita mengalu-alukan agar para pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga pihak kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang telah disediakan,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply