Tempoh bekerja 4.5 hari inovatif dan berhemat – CMI

CMI sambut baik cadangan Johor berhubung tempoh 4.5 hari seminggu bekerja untuk sektor awamnya dan menyifatkan pendekatan kerajaan negeri bagi meningkatkan fleksibiliti itu sebagai inovatif dan berhemat.

JOHOR BAHRU – Institut Pengurusan Bertauliah (CMI) menyambut baik cadangan Johor berhubung tempoh 4.5 hari seminggu bekerja untuk sektor awamnya dan menyifatkan pendekatan kerajaan negeri bagi meningkatkan fleksibiliti itu sebagai inovatif dan berhemat.

Ketua Eksekutif CMI, Ann Francke berkata, seperti yang dilaporkan oleh media tempatan, Johor berhasrat untuk mencapai keseimbangan dalam memperkenalkan aturan kerja yang fleksibel dengan penekanan pada penambahbaikan penyampaian perkhidmatan, sebelum mempertimbangkan cadangan peralihan kepada 4.5 hari minggu bekerja untuk sektor awamnya sambil mengekalkan jumlah semasa waktu bekerja.

“Komitmen kerajaan negeri untuk terlebih dahulu meningkatkan perkhidmatan digital dan melanjutkan waktu operasi kaunter menunjukkan gaya pemikiran pengurusan berkesan yang diperlukan untuk peralihan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ann, yang bekerjasama dengan rakan kongsi pendidikan di seluruh Malaysia, berkata, berdasarkan contoh terbaharu UK yang melaksanakan pelbagai bentuk dasar kerja fleksibel, termasuk mengurangkan minggu kerja, model kerja hibrid dan waktu kerja fleksibel, kaedah yang dipertimbangkan itu meningkatkan kemungkinan kejayaan yang ketara.

“Sudah tentu ia perlu diurus dengan mahir,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan bergantung kepada pelaksanaan yang lancar, bukan sahaja daripada pemimpin kanan tetapi yang lebih penting, daripada pengurus di setiap peringkat.

“Peralihan menuntut pengurus yang lebih baik yang boleh memimpin perubahan sambil mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan. Perkhidmatan yang bersemuka dengan pelanggan, khususnya, memerlukan perancangan yang mantap, justeru tumpuan Johor untuk melanjutkan waktu perkhidmatan kaunter dan menyeragamkan operasi merentas agensi adalah langkah pertama yang wajar,” katanya.

Beliau berkata, jika dilaksanakan dengan baik, perubahan itu secara realistik mampu meningkatkan produktiviti susulan tenaga kerja yang lebih gembira.

“Penyelidikan CMI sangat jelas bahawa majikan…baik dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta, mampu menarik dan mengekalkan kakitangan yang baik jika mereka menawarkan kerja fleksibel.

“Dalam dunia pascapandemik, pekerja mencari keseimbangan, mereka mahu bekerja keras tetapi mereka juga mahu masa untuk memulihkan diri,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif seperti yang diusahakan Johor juga akan menyokong cita-cita kerajaan Malaysia untuk meningkatkan bilangan wanita yang menyertai semula tenaga kerja.

“Kami menyedari bahawa semua pekerja menghargai keseimbangan kerja/kehidupan yang lebih baik namun tambahan masa bersama keluarga itu khususnya amat digemari oleh wanita bekerja,” katanya.

Pada 2022, 61 organisasi mengambil bahagian dalam percubaan empat hari seminggu bekerja di United Kingdom yang menunjukkan bahawa organisasi yang melaksanakan waktu kerja lebih singkat meraih manfaat yang ketara, termasuk peningkatan produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

Menurut CMI, data menunjukkan bahawa mereka yang mengambil bahagian, menunjukkan pengurangan 71 peratus dalam kelesuan melampau (burnout) pekerja dan pengurangan 65 peratus dalam cuti sakit, membawa kepada 89 peratus organisasi yang mengambil bahagian meneruskan pengurangan jam selepas tempoh percubaan dengan beberapa organisasi melaporkan pertumbuhan hasil sehingga 34 peratus. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply