GEORGE TOWN – Masih ada majikan dan peniaga di Pasar Borong Pulau Mutiara, Gat Lebuh Macallum di sini, yang berani menggajikan warga asing tanpa mematuhi syarat ditetapkan.
Perkara itu dikesan melalui pemantauan mengejut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan badan bukan kerajaan (NGO) Skuad Banteras di pasar awam berkenaan pada awal pagi Sabtu.
Ketua Skuad Banteras, Wong Kin Wai berkata, pihaknya sebelum ini menerima aduan daripada orang awam yang bimbang dengan peningkatan jumlah warga asing di kawasan berkenaan termasuk mereka yang bekerja secara haram di pasar terbabit.
Menurutnya, bagi melihat situasi sebenar, pihaknya melakukan pemantauan bermula jam 3.30 pagi dan mendapati ramai pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja bagi sektor berkenaan termasuk permit tamat tempoh.
“Walaupun ini hanya pemantauan bersama pihak MBPP, namun ia jelas menunjukkan mereka (pekerja asing) berani melakukan kesalahan dan dilindungi majikan tempatan.
“Bila kita tanya berkenaan dokumen dan permit, bermacam alasan yang diberikan seolah-olah tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.
Kin Wai berkata, dalam pemantauan itu pihaknya turut mengesan ada majikan yang menggajikan pekerja pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Katanya, sikap majikan dan peniaga yang tidak mematuhi syarat menggajikan pekerja warga asing antara punca lambakan golongan itu di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Majlis MBPP, Abdul Latif Mohamad berkata, pihaknya akan melakukan perancangan semula dengan pihak berkuasa lain untuk mengambil tindakan lanjut berdasarkan hasil pemantauan tersebut.
“Kita boleh saksikan gelagat mereka yang mula gelisah hingga ada yang tinggal sayur dan tutup kedai selepas menyedari pemantauan dibuat pada pagi ini.
“Pastinya kita akan lihat semula perancangan serta akan babitkan tindakan bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.