Program 2TM: Dua jam beratur demi topi keledar Madani

Orang ramai beratur di kaunter JPJ untuk mendapatkan topi keledar baharu. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Orang ramai sanggup beratur seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan topi keledar baharu yang diberikan secara percuma di Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tinjauan Sinar Harian mendapati, peluang itu dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan kaum.

Pekerja Swasta, Zamrul Azuan Zakaria, 49, berkata, dia mengambil peluang untuk menukar topi keledar miliknya yang sudah lama iaitu pemberian kerajaan terdahulu.

“Saya tahu pasal pemberian helmet ini dari aplikasi WhatsApp dan datang sebelum jam 9 pagi tetapi masa saya sampai… barisan dah panjang. Ada dua ke tiga baris.

Antara penerima topi keledar Madani.

“Ikutkan kuota sudah habis, tapi petugas memaklumkan jumlah itu sudah ditambah. Jadi, dapatlah helmet ini. Lagi pun, helmet lama berkenaan merupakan pemberian percuma daripada kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Program 2TM, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, pemandu lori, Gan Wee Meng, 54, memaklumkan, pemberian secara percuma itu telah menjimatkan kos perbelanjaan dia daripada membeli topi keledar yang baru.

Tambahnya, pengurusan dan waktu menunggu tidak begitu lama kerana pihak JPJ dan penganjur bekerjasama untuk memastikan proses pengambilan tersebut berjalan lancar.

Azharul Izwan (kiri) memberi topi keledar kepada pengunjung yang hadir ke kaunter JPJ.

Bagi pekerja swasta, Nor Sazman Norani, 52, orang ramai perlu manfaatkan tawaran yang disediakan kerajaan kerana topi keledar usang sudah boleh dikitar semula atau diproses mengikut prosedur sepatutnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kanan JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azharul Izwan Puaadi berkata, sasaran pemberian adalah 5,000 topi keledar untuk tiga hari program berkenaan berlangsung.

“Setiap hari kita adakan ada dua sesi iaitu pagi dan petang. Pada hari pertama, kita agihkan 1,500 kemudian hari ini 2,000 dan esok 1,500 lagi.

“Untuk mudahkan proses pengambilan, kita buka 10 kaunter di mana dua kaunter khas hanya untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita mengandung. Untuk kelancaran, tak adalah laju sangat tapi Alhamdulillah sejak semalam keadaan terkawal,” jelasnya.

Selain itu, kaunter Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menjadi tumpuan pengunjung untuk mencetak semula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sudah rosak atau hilang akibat bencana dan salah letak.

Menurut penjawat awam, Mohd Kamil Ismail, 38, perkhidmatan yang disediakan itu sangat berpatutan kerana harga ditawarkan sangat murah dan proses mendapatkan sijil juga tidak lama.

“Banyak faktor kenapa orang mahu cetak semula sijil seperti hilang atau rosak. Jadi, dengan cara ini (buka kaunter) orang awam boleh dapatkan semula sijil dengan kos rendah dan tidak perlu ke pejabat untuk urusan.

“Macam saya, saya buat baru sebab keadaan sijil yang dah tidak berapa baik. Jadi, saya manfaatkan peluang ini untuk perbaharui sijil SPM saya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Lembaga Peperiksaan KPM, Nor Huda Ahmad Puad berkata, selain percetakan semula sijil SPM, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan tersebut seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan banyak lagi tetapi pada harga asal iaitu RM30.

Ujarnya, orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan tersebut hanya perlu membawa kad pengenalan asal dan wang tunai.

“Kita buka kepada semua pengunjung yang hadir. Untuk sijil SPM untuk tahun 1993 ke bawah, boleh dapat terus manakala bagi 1994 ke atas perlu tunggu tujuh hari iaitu menerusi permohonan secara manual,” katanya.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply