SHAH ALAM – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, bersama rakan-rakan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Rakan Penghantar bersetuju dengan cadangan untuk Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengadakan sesi dialog bersama pemegang taruh sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dibentangkan di Parlimen pada Disember depan.
Menerusi kenyataan akhbar yang dimuat naik di laman Facebook Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, mereka terdiri daripada Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantaran Bermotosikal Perak, Persatuan Penghantar E-Hailing dan E-Hailing Sabah serta Komuniti Penghantar (E-Hailing) Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pemegang taruh yang terlibat wajar diberikan peluang untuk memberi pendapat dan berdialog dengan Kesuma berkaitan RUU Pekerja Gig dan juga mekanisme pelaksanaan RUU tersebut.
“Selain itu, sesi dialog berkenaan juga bertujuan memberi ruang dan peluang kepada setiap pemegang taruh memberikan cadangan dan pandangan.
“Ini boleh mengharmonikan lagi RUU berkenaan setelah mengikut kepada keperluan akar umbi industri serta pihak berkepentingan,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Jelas kenyataan itu, mereka juga mencadangkan agar sesi dialog tersebut turut disertai wakil-wakil daripada setiap kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.
“Ia juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkasa industri ekonomi gig di Malaysia,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, mereka berpandangan bahawa satu sesi libat urus secara menyeluruh perlu dilaksanakan dengan segera supaya objektif akhir untuk mengukuhkan industri gig di Malaysia akan tercapai.
Pada Jumaat, kerajaan bersetuju untuk menangguhkan RUU Pekerja Gig yang dijadual dibentangkan di Parlimen bulan depan.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
Ujar beliau, penangguhan tersebut bagi memberi ruang dan peluang agar lebih banyak proses libat urus dengan pelbagai pihak dapat dilaksanakan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.