Mayat nelayan jatuh laut di Pulau Ketam ditemukan

Mayat mangsa ditemukan selepas dipercayai jatuh ke laut ketika menangkap ikan bersama rakannya di Pulau Ketam pada Khamis lalu.

PELABUHAN KLANG – Usaha pencarian seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas terjatuh di Pulau Ketam, Khamis lalu berakhir apabila mayatnya ditemukan pada Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mayat mangsa ditemukan di kedudukan 8.1 batu nautika barat daya Pulau Ketam pada jam 10.45 pagi.

Beliau berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru sebelum itu menerima maklumat awal dari Pusat Operasi Maritim Selangor mengenai aduan insiden berkaitan mangsa terbabit.

“Mangsa, Chia Hap Swa, 59, dilaporkan jatuh laut di posisi lebih kurang tujuh batu nautika Tenggara Pulau Ketam sekitar jam 9.30 pagi Khamis.

“Mangsa turun ke laut bersama rakan untuk menangkap ikan sebelum disedari terjatuh dari bot dan dipercayai lemas sebelum dibawa arus,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, bertindak atas maklumat, dua aset Maritim Malaysia iaitu bot PENGGALANG 10 dan PENGGALANG 31 telah diatur gerak ke lokasi bersama aset Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah.

“Selain itu, bantuan turut diberikan komuniti nelayan tempatan untuk melakukan pencarian di sekitar lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya ditemukan dengan berpakaian baju hijau muda berseluar panjang pada Jumaat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan ditamatkan pada jam 1.15 petang.

“Maritim Malaysia mengingatkan orang awam agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut terutamanya ketika Monsun Timur Laut sedang melanda negara.

“Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply