IPOH – Lelaki Orang Asli yang hilang sejak petang semalam selepas keluar memancing ditemukan lemas di Sungai Tumboh, Kampung Gajah, dekat sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat Iswandi Isa, 42, ditemukan sekitar 7.20 malam tadi kira-kira tiga kilometer (km) dari tempat kejadian.
“Mayat mangsa ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan berpakaian lengkap dan dipercayai tersangkut pada pokok liar yang tumbuh di kawasan tepi sungai tersebut.
“Operasi hari ini melibatkan jarak pencarian sekitar 5km dari tempat kejadian hingga ke hilir sungai dengan dibantu 24 anggota serta tiga bot milik JBPM Perak serta Angkatan Pertahanan Awam Perak,” katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu, mangsa yang dipercayai keluar memancing di sungai berkenaan tidak pulang ke rumah hingga laporan dibuat oleh isterinya pada awal pagi tadi (1.05 pagi).
Susulan itu, JBPM Perak telah bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi pencarian dengan melibatkan 16 petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dan Kampung Gajah serta polis dan penduduk setempat.
Sabarodzi berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.