SARIKEI – Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan status kemasukan tujuh warga Indonesia yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 448, Jalan Betong-Sarikei-Meradong di Sarikei petang semalam adalah secara sah atau sebaliknya.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintenden Aswandy Anis berkata, setakat ini identiti kesemua warga Indonesia yang terkorban itu belum dikenal pasti dan pihak polis sudah memaklumkan kepada pihak Konsulat Jeneral Indonesia bagi membantu mengenal pasti identiti mereka.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia dalam lingkungan antara 16 hingga 53 tahun, manakala pemandu kenderaan yang dinaiki mereka merupakan lelaki tempatan beralamat di Sibu dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kesemua mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Sarikei untuk tujuan bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Semalam, lapan orang termasuk tujuh warga asing maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, kesemua mangsa yang maut menaiki Perodua Alza, manakala pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan itu mengalami kecederaan.
Sementara itu, Aswandy berkata, lebih kurang 2.50 petang semalam, peronda MPV polis yang sedang membuat rondaan di simpang Jalan Jakar telah terserempak dengan kereta Perodua Alza berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan.
Namun, pemandu kenderaan itu telah memecut laju dan ketika memasuki laluan melawan arus, pasukan MPV sekali lagi membunyikan siren sebagai amaran dan mengarahkan pemandu menghentikan kenderaan tetapi tidak dihiraukan.
“Apabila sampai di Jambatan Sungai Nyelong Pan Borneo, kereta itu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mengakibatkan kesemua penumpang termasuk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.