PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa masyarakat agar tidak membuat spekulasi berhubung kes melibatkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
SPRM dalam kenyataannya berkata, siasatan dan jejak kewangan aset melibatkan Allahyarham Daim dan keluarga masih diteruskan.
Sehubungan itu, SPRM meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Pelbagai dakwaan yang tidak berasas dan mengelirukan tersebar di media sosial berkaitan isu ini.
“Pada Februari 2023, SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Kertas Pandora.
“Siasatan ke atas maklumat dalam Kertas Pandora itu telah membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu yang mana Allahyarham Daim memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu lagi, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media SPRM bertarikh 30 Disember 2023, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah dikeluarkan kepada Allahyarham Daim pada 7 Jun 2023.
Jelasnya, notis tersebut mengkehendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam serta luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Menurutnya, Allahyarham Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan SPRM memberikan lanjutan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 2023, 11 September 2023 serta 11 Oktober 2023.
Tambahnya, lanjutan terakhir pada 14 November 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset tersebut.
Pada 29 Januari 2024, Allahyarham Daim telah didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir iaitu 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.
Katanya, setelah Allahyarham Daim meninggal dunia pada 20 November, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan Allahyarham daripada pertuduhan gagal mematuhi notis tersebut mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Walau bagaimanapun, kata kenyataan itu, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan kes ini masih diteruskan.
“Siasatan ini turut melibatkan isteri Allahyarham Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Kadir serta ahli-ahli keluarga beliau.
“Siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara. Penyelidikan jejak kewangan di luar negara sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa,” kata SPRM.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.