Ulasan Oppo Find X8 – Kamera Kompak Kacak

Oppo Find X8 dilancarkan serentak ke pasaran global dengan Find X8 Pro semalam di Bali. Seperti kebiasaannya, apabila muncul dua model pasti wujud persoalan peranti manakah yang lebih berbaloi. Apa yang boleh saya katakan di awal ulasan ini ialah dari segi rekaan, Find X8 ialah peranti yang kelihatan lebih tampan tetapi bagaimana pula dengan prestasinya yang lain? Ini ulasan penuh untuk Oppo Find X8.

Spesifikasi

Oppo Find X8
Skrin 6.59-inci LTPO AMOLED 120Hz
1256 x 2760 pixels (~460 ppi)
Ultra HDR Image, HDR10+, HLG
Corning Gorilla Glass 7i
Pemproses Mediatek Dimensity 9400 (3 nm)
Cip 1 x 3.63 GHz Cortex-X925
3 x 3.3 GHz Cortex-X4
4 x 2.4 GHz Cortex-A720
Cip Grafik Immortalis-G925
RAM 16GB RAM LPDDR5X
RAM Maya (+16GB RAM)
Muatan Dalaman 512GB UFS 4.0
Kamera Utama 50 MP, f/2.0, OIS (Sudut lebar)
50 MP, f/1.8 (Ultra-lebar)
50 MP, f/2.6, OIS (telefoto)
Kamera Depan 32 MP, f/2.4
Bateri 5630 mAh
Berwayar 80W (PD, PPS, UFCS)
Nirwayar 50W
Berbalik 10W
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano /5G
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP68/69
Sistem Imbasan Imbasan cap jari
Imbasan wajah
Harga Jualan RM 3699 (16/512GB)

Skrin

Find X8 Pro mempunyai skrin 6.59-inci LTPO AMOLED 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz, kecerahan sehingga 4500 nit di samping menyokong teknologi ProXDR, HDR10+ dan Dolby Vision. Skrin adalah dari jenis rata yang berbeza dengan skrin melengkung 2.5D pada X8 Pro. Saya lebih gemarkan skrin rata kerana tidak mempunyai isu kandungan melimpah ke sisi.

Peranti boleh memaparkan kandungan HDR dalam aplikasi seperti Netflix, Max, Prime Video dan YouTube tanpa isu. Ia juga sangat responsif dengan tiada masalah tersekat-sekat. Keterangan puncak 4500 nit memastikan kandungan skrin boleh ditonton walaupun dalam keadaan cahaya yang sangat terang.

Disamping itu pujian saya berikan kepada sistem haptik yang terasa sangat realistik. Ia setanding dengan pengalaman haptik pada sebuah iPhone. Sistem biometri imbasan jari bawah yang disertakan juga beroperasi dengan pantas walaupun dari jenis optikal.

Rekaan

Rekaan peranti ini berbeza sekali dengan X8 Pro. Pertama sekali ialah sisi X8 adalah rata sepenuhnya dengan hanya terdapat bulatan pada keempat-empat bucu. Maaf tetapi di dalam tangan ia terasa seperti sebuah iPhone 16 atau Pixel 9 Pro XL kerana sangatlah sama. Oleh sebab itu sebagai pengguna kedua-dua peranti ini ia terasa amal sama sahaja dan ini juga bermakna X8 sangat selesa di dalam tangan. Jika diberikan pilihan, saya lebih menyukai rekaan X8 berbanding X8 Pro dengan sisi yang dibulatkan.

Persamaan terletak pada panel belakang yang tidak mempunyai sebarang elemen gimik. Tiada panel dengan warna dwi tona, kemasan kulit vegan, panel seakan batu atau panel kaca. Panel polikarbonat di belakang X8 berwarna hitam kami nampak seperti sekeping batu slate yang tidak berkilat dan tidak begitu memerangkap kotoran dengan mudah.

Pada sisi kanan terdapat butang laras audio dan kuasa yang kedua-duanya selesa digunakan. Pada sisi kiri terdapat pula butang lungsur Alert Slider yang digunakan untuk membisukan notifikasi peranti. Ciri yang dahulunya eksklusif pada peranti OnePlus kini dipinjamkan kepada Oppo. Seterusnya di atas terdapat satu lubang speaker dan pemancar infra merah. Akhir sekali di bahagian bawah terdapat lubang pengecas USB-C, sebuah lagi lubang speaker dan talam untuk dwi-SIM nano.

Bonggol di belakang meletakkan sistem trikamera tetapi bonggolnya adalah tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan Xiaomi 14 Ultra dan Vivo X200 Pro. Peranti terasa selesa dan seimbang di dalam tangan. Tiada isu kepala peranti menjadi terlaku berat. Di atas meja bonggol tidak menyebabkan pernati terjungkit dengan teruk. Sebuah kerangka diberikan oleh Oppo yangh akan memastikan permukaan panel belakang peranti rata sepanjang masa.

Satu lagi perbezaan antara X8 dan X8 Pro ialah tiada butang kamera pada sisi kanan. Ciri seakan siri iPhone 16 ini hanya diberikan pada model Pro sahaja nampaknya. Tubuh peranti yang agak nipis ini turut melepasi piawaian IP69. Tak perlu risau mengenai kerosakan berlaku jika peranti ini terjatuh ke dalam kolam apatah lagi sekadar percikan air hujan.


Sistem Operasi dan Pengalaman Penggunaan

Peranti hadir dengan sistem operasi ColorOS 15 yang berasaskan Android 15. Ini ialah iterasi ColorOS yang terbaik pernah saya gunakan sejak kali pertama mengulas peranti Oppo N1 sedekad yang lalu. Ia terasa sangat lancar. Saya boleh katakan ia lebih lancar berbanding Pixel 9 Pro XL dan Samsung Galaxy S24. Dari segi kelancaran saya boleh menyamankannya dengan iPhone 15 Pro Max. Find X8 ialah peranti Android pertama yang memberikan kelancaran UI sama seperti iOS.

Saya tidak mengalami isu aplikasi dan peranti terhenti sehingga perlu dihidupkan semula seperti dalam ulasan Find X8 Pro. Ini membuatkan saya terfikir sama ada unit Find X8 Pro yang diterima sebenarnya yang bermasalah.

Alang-alang kelancaran sudah sama, ada beberapa elemen antaramuka telah dipinjam daripada iOS 18. Talam untuk kawalan pantas kini lebih menyerupai iOS berbanding Android 15. RAM juga boleh ditambah sebanyak 16GB lagi secara maya. Sebagai pengguna iOS 18 saya boleh katakan ini bukanlah perkara negatif kerana elemen antaramuka yang digunakan adalah sangat ergonomik.

Masih terdapat ciri Android seperti Multi Window, gestur, dan Circle to Search. Ini semua bukan ciri baharu. Yang baharu ialah kustomasi skrin kunci yang lebih dinamik sekali lagi meminjam elemen iOS yang membolehkan objek hadapan menutupi sebahagian elemen widget jam misalnya.

Turut diperkenalkan ialah Aqua Dynamics yang mirp Dynamic Island. Setakat ini yang menyokong ciri ini ialah Spotify, aplikasi rakaman audio dan juga perkongsian hotspot WiFi. Akhir sekali ciri Touch to Share yang membolehkan perkongsian fail seakan AirDrop antara Find X8 dan iPhone. Saya boleh katakan ciri ini menarik tetapi ia masih tidak selancar AirDrop sebenar. iPhone perlu memuat turun aplikasi O+ Connect terlebih dahulu sebelum ciri ini boleh digunakan.

Sistem operasi Find X8 ialah antara kekuatan yang ketara pada Find X8 kerana amat mengagumkan. Yang sedikit mengecewakan Find X8 hanya menyokong kemas kini 5 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti. Ia tidak sebaik 7+7 seperti yang diberikan oleh Google dan Samsung untuk peranti mercu mereka.

Ciri AI

Ciri kecerdasan buatan (AI) kini wajib diberikan pada peranti moden dan Find X8 mempunyai beberapa yang saya rasakan menarik. Gambar yang kabur boleh dibaiki dengan AI Ublur. Jika ada objek yang tidak dikehendaki ia boleh dipadam dengan AI Eraser. Enhanced Clarity AI pula meningkatkan ketajaman gambar apabila mengambil gambar.

Seterusnya biasan pada gambar juga boleh dibuang menggunakan Reflections Remover. Selainnya ada ciri membantu melakukan ringkasan laman web, menghasilkan transkrip daripada audio yang dirakam. Semua ciri ini bukannya baharu untuk tahun 2024 tetapi akan memastikan Oppo tidak ketinggalan berbanding pesaing

Penanda Aras

Find X8 dikuasai dengan cip Mediatek Dimensity 9400 yang merupakan pesaing kepada Snapdragon 8 Elite dan Apple A18 Pro. Ia dipadankan kepada 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.0 yang cukup pantas. Maka ujian penanda aras yang saya lakukan hanya membandingkan Find X8 dengan Oppo Find X8 Pro, Realme GT7 Pro dan Apple iPhone 16 Pro Max.

Antutu 3D

  • Oppo Find X8 – 2,176,221
  • Oppo Find X8 Pro – 2,672,191
  • Realme GT7 Pro – 2,642,097
  • iPhone 16 Pro Max – 1,720,751

Geekbench 6

  • Oppo FInd X8 – 2763/8437
  • Oppo Find X8 Pro – 2779/8044
  • Realme GT7 Pro – 2789/9002
  • iPhone 16 Pro Max – 3359/8129

3D Mark Wildlife Extreme

  • Oppo Find X8 – 6100
  • Oppo Find X8 Pro – 6033
  • Realme GT 7 Pro  – 5922
  • iPhone 16 Pro Max – 4560

Geekbench AI

  • Oppo iInd X8 – 1718/ 1730/2140
  • Oppo Find X8 Pro – 1728/1740/2147
  • Realme GT 7 Pro  – 2307/2323/3027
  • iPhone 16 Pro Max– 4516/7744/6204

Markah penanda aras Find X8 adalah amat memuaskan dengan skor yang dicatatkan adalah setanding dengan Find X8 Pro, GT7 Pro dan iPhone 16 Pro Max. Peranti tidak memanas apabila digunakan untuk menjalankan aplikasi lazim ataupun permua prestasi tinggi. COD Mobile, COD Warzone Mobile, Genshin Impact, MLBB dan banyak lagi boleh dimainkan pada tetapan tertinggi tanpa sebarang isu.

Jika anda kaki gaming Find X8 tidak akan mengecewakan. Isu kami hanyalah peranti memanas apabila menggunakan aplikasi kamera. Memanas agak melampau sehingga tidak selesa untuk dipegang.


Kamera

Kamera di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP OIS, ultra lebar 50MP dan telefoto 3X 50MP OIS. Tiada lensa telefoto 6X seperti pada Find X8 Pro. Di hadapan pula terdapat sensor 32MP dalam lubang kamera. Sistem kamera Hasselblad muncul sekali lagi dengan penawaran beberapa mod fotografi dan simulasi filem terbina dalam aplikasi kamera. Hasil gambar yang diambil adalah seperti di bawah.

Kualiti gambar nampak tajam, warna yang hidup serta sokongan HDR yang tidak mengecewakan. Dalam pelbagai situasi gambar yang diambil tidak mengecewakan. Rakaman mod malam tidak mempunyai isu hingar cuma saya dapat melihat kesan blooming apabila wujud sumber cahaya.

Terdapat mod AI yang boleh meningkatkan kualiti gambar namun apabila zum dilakukan pada tetapan paling tinggi, imej akhir yang terhasil nampak palsu kerana dilukis oleh kecerdasan buatan. Menerusi kerjasama Haselblad ciri X Pan kembali bersama dengan pratetapan untuk situasi mengambil letupan mercun, konsert dan silhouette.


Audio

Walaupun kedua-dua speaker stereo menembak ke sisi, audio masih lebih lantang menerusi speaker bawah menimbulkan ketidakseimbangan. Sungguhpun begitu audio masih lagi jelas dan mampu membezakan instrumen dengan baik. Hanya bass saya rasakan kurang menyengat. Adalah sedikit aneh skrin menyokong Dolby Vision tetapi audio tiada Dolby Atmos. Oppo menggunakan sistem sendiri yang menetapkan audio dalam mod Smart, Movie, Gaming dan Music. Mod Holo Audio pula memberikan audio spatial jika audio di strim ke beberapa aksesori audio serentak.

Bateri

Find X8 dilengkapi bateri 5630mAh dari jenis silikon-karbon yang memberikan ketumpatan tenaga yang tinggi dalam saiz lebih kecil. Biasanya peranti dalam saiz Find X8 jarang sekali dilengkapi bateri sebesar ini. Dalam kegunaan biasa peranti mampu bertahan sepanjang hari dengan SOT sehingga 8 jam. Pengecasan 80W SuperVOOC yang diberikan pula membolehkan bateri dicaj dalam masa sekitar 40 minit yang adalah cukup pantas.

Turut disokong ialah pengecasan nirwayar 50W dan berbalik pula sehingga 10W. Pada panel belakang terdapat magnet membolehkan beberapa aksesori baharu Oppo seakan Apple MagSafe digunakan. Malahan pengecas MagSafe adalah serasi dengan siri FInd X8.


Pesaing

Oppo Find X8 Vivo X200 Realme GT7 Pro
6.59″ LTPO AMOLED 120Hz
Dolby Vision, Gorilla Glass 7i, 4500 nit
6.78″ LTPO AMOLED, 120Hz
Dolby Vision, 4500 nit
6.78″ LTPO OLED, 120Hz,
Dolby Vision, Gorilla Glass 7i,
6000 nit
Dimensity 9400 (3 nm)
1×3.63 GHz Cortex-X925
3×3.3 GHz Cortex-X4
4×2.4 GHz Cortex-A720
Dimensity 9400 (3 nm)
1×3.63 GHz Cortex-X925
3×3.3 GHz Cortex-X4
4×2.4 GHz Cortex-A720
Snapdragon 8 Elite (3nm)
2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L
6x 3.53 GHz Oryon V2 PhoenixM
Immortalis-G925 Immortalis-G925 Adreno 830
16 GB LPDRR5X 12 GB LPDRR5X 12GB RAM LPDDR5X
512 GB UFS 4.0 512 GB UFS 4.0 512 GB UFS 4.0
Kamera Utama
50 MP f/1.8, OIS (Lebar)
50 MP f/2.0 (Ultra lebar)
50 MP f/2.6, OIS (Telefoto)
Hasselblad
Kamera Utama
50 MP f/1.6, OIS (Lebar)
50 MP, f/2.0 (Ultra lebar)
200 MP f/2.7, OIS (Telefoto)
ZEISS
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS ( Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra lebar)
50MP f/2.7, OIS (Telefoto)
HYPERIMAGE+
Kamera Hadapan
32MP f/2.4
Kamera Hadapan
32MP f/2.0
Kamera Hadapan
16MP f/2.5
IP68/69 IP68/IP69 IP68/IP69
Tiada bicu audio Tiada bicu audio Tiada bicu audio
Audio Stereo Audio Stereo Audio Stereo
5630 mAh
Berwayar 80W
Nirwayar 50W
Berbalik 10W
6000mAh
Berwayar 90W
Nirwayar 30W
6,500mAh
Berwayar 120W
RM 3,699 (16/512GB) RM 3,599 (16/512 GB)

RM 3,699 (12/512GB)

Apa Di Dalam Kotak?

  • 1 X Oppo Find X Pro.
  • 1 X Pengecas SuperVOOC.
  • 1 X Kerangka pelindung
  • 1 X Kabel USB-C.
  • 1 X Manual
  • 1 X Kad jaminan.
  • 1 X Pin SIM

Kesimpulan

Oppo Find X8 ialah versi lebih kompak dan mampu milik kepada Find X8 Pro. Harus saya katakan saya lebih sukakan rekaan tubuh Find X8 yang rata membuatkan ia selesa di dalam tangan. Prestasi pemproses Dimensity 9400 peranti ini juga sama sahaja dengan model lebih mahal sementara kemampuan kamera hanya kekurangan tiada zum lebih jauh dan sekadar satu lensa telefoto. Pada harga RM3699 ia kompetitif apabila dibandingkan dengan Vivo X200 dan Realme GT7 Pro.

Pro Dan Kelebihan

  • Skrin yang terang dan tajam.
  • Rekaan kompak yang selesa dalam tangan.
  • Cip pemprosesan berkuasa.
  • Sistem kamera yang baik dan serba boleh.
  • Ketahanan bateri baik dengan pengecasan yang pantas
  • Kalis air IP68/69.

Kontra Dan Kekurangan

  • Memanas apabila menggunakan kamera.
  • Sokongan hanya 5+6 tahun.

Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply