BUTTERWORTH – Empat individu termasuk dua warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth di sini atas pertuduhan menculik dua lelaki warga asing pada Rabu lalu.
Tertuduh warga Myanmar, Habizur Rahman Abul Jamil, 27, dan Abdullah Abu Jamil, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Penolong Pendaftar, Mohamad Azrul Muhd Sobri.
Bagaimanapun, tertuduh, warga tempatan, Hadzri Abd Hamid, 40, dan Azri Shahrizal Abd Rahman, 41, pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama menculik dua lelaki warga asing dengan niat supaya mereka dikurung secara rahsia dan salah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tapak pembinaan sebuah stesen minyak di Telok Ayer Tawar dalam daerah Seberang Perai Utara, jam 8.30 malam pada 13 November lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan dua lelaki tempatan diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin manakala tiada jaminan ditawarkan kepada dua tertuduh Myanmar itu.
Kes akan disebut semula pada 3 Disember depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.