NILAI – Dua individu parah manakala tiga yang lain cedera ringan selepas terlibat kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk dua buah lori di Kilometer 274.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Arah Utara) antara laluan Bandar Ainsdale ke Nilai di sini pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan pada jam 6.50 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Daihatsu yang dipandu lelaki berumur 74 tahun bersama kelindannya, 60, dari Tampin menghala ke Kajang, Selangor.
Menurutnya, apabila sampai di lokasi kejadian, lori berkenaan telah hilang kawalan lalu kenderaan itu terbabas ke kanan jalan menyebabkan lima buah kereta serta sebuah lori cuba mengelak sebelum berlanggar sesama sendiri.
“Akibatnya pemandu serta penumpang sebuah kereta jenis Perodua Ativa mengalami cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
“Tiga orang penumpang kenderaan jenis Perodua Myvi serta kelindan lori jenis Daihatsu pula mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di hospital yang sama. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Abdul Malik berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Nilai di nombor 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai)
“Boleh juga menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142,” katanya.
Sementara itu, pihak Plus Malaysia Bhd menerusi akaun aplikasi X, @Plustrafik memaklumkan, nahas tersebut telah menyebabkan kesesakan teruk sejauh 10 kilometer apabila lorong kanan dan tengah terhalang.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.