“Bersih mayat (jenazah) dia, bang. Tak ada darah pun. Kecuali di dagu sikit ja. Itu pun nampak seolah-olah cedera ringan.”
Kongsi saksi kejadian kemalangan maut seorang guru al-Quran dikenali Ustaz Muaz Abdullah pada Selasa.
Bayangkan, jasad yang terbaring selepas satu kemalangan, tapi tetap dalam keadaan yang sangat tenang. Tiada luka besar, tiada darah yang membasahi tubuh – hanya calar kecil di dagu, seolah-olah kematian itu datang dengan penuh kelembutan.
Seolah-olah Tuhan memanggilnya pulang dengan cara yang paling halus, tanpa kesakitan yang berpanjangan. Hati terasa hiba mendengar kisah ini. Perasaan sayu membayangkan bagaimana saat-saat terakhir arwah melalui hidupnya. Bukan sekadar pemergiannya, tapi juga tanda-tanda ketenangan yang terpancar pada jasadnya.
Beliau (saksi) yang juga seorang ‘runner’ menceritakan keadaan tersebut kepada ayah Allahyarham sejurus mengangkat jasad Ustaz Muaz di lokasi kejadian.
Menerusi hantaran di Facebook oleh kakak mangsa, Hajar Abdullah, beberapa saksi lain turut berkongsi situasi kemalangan ustaz Muaz
“Kata mereka (orang-orang yang sempat menyaksikan), Allahyarham seperti sedang tidur dan kematiannya mudah serta cepat sahaja ‘pergi’.
“Ada juga yang berkongsi dan memaklumkan yang ini kali pertama mereka menyaksikan kemalangan tidak berdarah walaupun berlaku hentaman kuat,” tulis Hajar di Facebook.
Catat Hajar lagi, kemalangan membabitkan adiknya itu sama sekali tidak diketahui sehinggalah dia terbaca satu hantaran di Facebook komuniti Batu Pahat yang memaklumkan insiden berkenaan.
“Kata adik kedua, dia (Muaz) baru lepas syahadahkan pelajar tahfiz sebelum kejadian berlaku. Rutin kehidupan hariannya pula hanya dipenuhi dengan mengajar al-Quran kepada anak-anak murid.
“Ketika di Jabatan Forensik, Hospital Batu Pahat, saya berpeluang lihat muka arwah. Benarlah kata ‘runner’ tadi, muka adik (Muaz) bersih.
“Adik…moga syurga buatmu. Pengakhiran kau baik dik. Tenanglah kau di alam sana. Insya-ALLAH, kita bertemu lagi. I’m here, I don’t even know what is my ending. Kerana mati tu sekali sahaja,” catat Hajar.
Ia mengingatkan kita, ajal itu pasti. Tak kira bagaimana cara kita pergi, bila tiba masanya, ia tetap akan berlaku. Yang tinggal hanyalah kenangan dan doa daripada yang masih hidup. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah dan mengurniakannya tempat di sisi orang-orang beriman.
Sumber: Sinar Harian
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.