KECANGGIHAN teknologi kini sehingga wujudnya kecerdasan buatan (AI) membuatkan sesetengah tugasan kita menjadi lebih mudah.
AI boleh dikatakan bukan sahaja membantu dalam melaksanakan tugas seharian, malah mengubah budaya dan tatacara manusia melakukan sesuatu proses kerja termasuk dalam pembelajaran.
Persoalannya, apakah dibolehkan umat Islam bergantung semata-mata dengan teknologi seperti aplikasi atau AI terutamanya dalam sudut pendidikan? Apakah ia boleh menggantikan peranan guru pada hari ini?
Mengulas mengenai perkara ini, Sinar Islam Plus menemu bual Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC) Bachok, Kelantan, Dr Mohd Khairulnazrin Mohd Nasir.
Menurut beliau, secara dasarnya teknologi AI tidak boleh menggantikan peranan guru sepenuhnya terutamanya dalam pembelajaran ilmu agama.
“Ini kerana pembelajaran ilmu agama lebih-lebih lagi dalam ilmu al-Quran dan tajwid memerlukan interaksi langsung antara guru dan murid.
“Ia penting bagi memastikan ketepatan bacaan dan pemahaman mengenai sesuatu yang dihuraikan kerana guru dapat membetulkan kesalahan pelajarnya secara langsung, malah memberi tunjuk ajar berdasarkan pengalamannya,” katanya.
Jaga sanad keilmuan
Tambahnya, apa yang lebih penting dalam pembelajaran agama seperti ilmu al-Quran adalah menjaga sanad keilmuan yang telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW.
Hujahnya, Islam memberikan penekanan yang mendalam terhadap kepentingan berguru dalam ilmu agama melalui tradisi keilmuan Islam yang diamalkan Baginda.
“Dalam konteks pembelajaran al-Quran misalnya, Rasulullah SAW menerima wahyu secara langsung daripada Jibril AS.
“Kemudian Baginda mengajarkannya kepada para sahabat dan mereka pula mengajarkannya kepada tabiin serta seterusnya hinggalah ilmu itu sampai kepada kita pada hari ini,” katanya.
Proses pembelajaran bersemuka ini bukan sahaja memastikan ketepatan bacaan dan pemahaman, sebaliknya ia turut memelihara kesucian dan keberkatan ilmu, ujarnya.
“Selain itu, pembelajaran bersama guru membolehkan pelajar mempelajari teknik-teknik khusus dalam pembacaan al-Quran seperti makhraj huruf, tajwid dan tempat-tempat wakaf yang memerlukan tunjuk ajar serta pembetulan secara langsung.
“Hubungan guru-pelajar ini juga membantu dalam pembentukan disiplin dan istiqamah dalam pembelajaran,” hurainya.
Guru bentuk akhlak, adab pelajar
Salah satu aspek yang tidak kurang penting, katanya, proses pembelajaran bersama guru menitikberatkan aspek pembentukan akhlak dan adab.
“Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, bahkan menjadi model dan pembimbing dalam membentuk peribadi pelajarnya.
“Melalui interaksi langsung, pelajar dapat mempelajari dan mencontohi akhlak, kesabaran, kerendahan hati dan ketekunan gurunya,” jelasnya lagi.
Ahli akademik itu menyambung, dalam tradisi Islam, hubungan guru-pelajar diibaratkan seperti hubungan bapa dengan anak yang melibatkan elemen penjagaan, bimbingan dan kasih sayang.
“Guru akan memantau perkembangan murid bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, tetapi juga dari segi spritual dan emosi,” ujarnya.
Menyentuh mengenai sistem sanad yang diamalkan dalam pembelajaran ilmu Islam, Dr Mohd Khairulnazrin menjelaskan, ia berfungsi sebagai mekanisme kawalan kualiti yang memastikan kesahihan dan ketulenan ilmu.
“Setiap guru dalam rantaian sanad bertanggungjawab memastikan ilmu yang disampaikan adalah tepat dan tidak menyimpang daripada ajaran asal.
“Sistem ini telah terbukti berkesan dalam memelihara keautentikan ilmu Islam sepanjang 1,400 tahun sejarahnya,” katanya.
Teknologi sebagai alat sokongan
Mengulas mengenai penggunaan AI atau aplikasi dalam talian untuk mengulang kaji dan murajaah (proses mengulang al-Quran bagi hafiz), pensyarah itu menjelaskan, teknologi tersebut menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu pembelajaran menjadi lebih efektif dan sistematik.
“Untuk pembelajaran al-Quran misalnya, aplikasi digital menyediakan fungsi-fungsi berguna seperti audio bacaan daripada qari terkenal, terjemahan ayat, tafsir ringkas dan sistem penanda ayat yang memudahkan proses ulang kaji.
“Selain itu, terdapat juga aplikasi yang dilengkapi dengan sistem pengesanan bacaan yang dapat memberikan maklum balas segera mengenai ketepatan sebutan huruf dan hukum tajwid.
“Platform pembelajaran dalam talian juga menyediakan akses kepada pelbagai sumber rujukan ilmiah, membolehkan pelajar mendalami pemahaman mereka terhadap sesuatu topik lebih mendalam,” hurainya panjang.
Bagaimanapun, katanya, perlu ditekankan bahawa teknologi ini harus digunakan sebagai alat sokongan dan bukan sebagai pengganti guru.
“Setelah mendapat asas yang kukuh daripada guru, pelajar boleh menggunakan aplikasi dan AI untuk mengukuhkan pembelajaran mereka,” katanya.
Sebagai penutup, Dr Mohd Khairulnazrin menasihatkan orang awam yang menggunakan AI dan aplikasi dalam talian secara bijak sebagai alat bantuan pembelajaran dan bukan sebagai pengganti guru sepenuhnya.
“Pastikan asas-asas ilmu dipelajari daripada guru yang berkelayakan terlebih dahulu dan gunakan teknologi untuk mengukuhkan pembelajaran, bukannya mengelakkan pembelajaran bersama guru.
“Pilih aplikasi dan sumber yang dipercayai serta disahkan oleh pakar bidangnya. Apa yang paling penting, kekalkan adab dan hormat dalam mencari ilmu sama ada secara tradisional mahupun menggunakan teknologi moden,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.