Ramai dalam kalangan lelaki yang memilih untuk berambut panjang. Tiada masalah tentang hal ini namun perlu diingat ketika solat rambut tersebut sebaiknya dilepaskan dan tidak diingat.
Ini kerana mengikat rambut ketika solat hukumnya adalah makruh.
Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa para fuqaha telah bersepakat akan kemakruhan mendirikan solat dalam keadaan rambut terikat bagi lelaki.
Mengikat rambut di sini maksudnya menjalinkan rambut di sekitar kepala sebagaimana yang dilakukan oleh para wanita atau mengumpulkan rambut dan mengikatkannya di belakang kepala.
Solat dalam keadaan ini dihukumkan sebagai makruh tanzih. Namun, jika dia tetap juga solat dalam keadaan demikian, solatnya adalah sah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26/109).
Para ulama berhujah mengenai kemakruhan tersebut berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:
أَنَّهُ رَأَى عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْحَارِثِ يُصَلِّي وَرَأْسُهُ مَعْقُوصٌ مِنْ وَرَائِهِ، فَقَامَ فَجَعَلَ يَحُلُّهُ، فَلَمَّا انْصَرَفَ أَقْبَلَ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ: مَا لَكَ وَرَأْسِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّمَا مَثَلُ هَذَا مَثَلُ الَّذِي يُصَلِّي وَهُوَ مَكْتُوفٌ
Maksudnya: “Beliau melihat Abdullah bin al-Harith solat dalam keadaan rambutnya diikat di belakang. Beliau (Ibn Abbas) lantas bangkit dan melepaskan ikatan tersebut. Apabila dia selesai (solat), lantas dia menghadap Ibn Abbas dan bertanya: ‘Mengapa kamu lakukan pada rambutku demikian?’ Lalu Ibn Abbas menjawab: ‘Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang.’” Riwayat Muslim (1129)
Namun demikian larangan ini hanya dikhususkan kepada kaum lelaki dan tidak kepada kaum perempuan.
Dalam pada itu perkara yang perlu diberi perhatian juga dalam permasalahan lelaki mengikat rambut adalah hendaklah dipastikan pengikatan rambut itu jauh daripada sifat/tahap tasyabbuh (penyerupaan) kepada wanita.
Ini kerana terdapat larangan yang keras bagi lelaki untuk menyerupai perempuan dan begitulah juga sebaliknya. Jika dikhuatiri ia ada unsur penyerupaan dengan perempuan, maka seeloknya hendaklah ditinggalkan.
Sumber: Maktabah Al Bakri
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.