Sebagai jenama ikonik yang diasaskan pada tahun 1934, Jaguar kini bersedia untuk memasuki era baharu sebagai pembuat kenderaan mewah serba elektrik menjelang 2026.
Dalam usaha mentransformasikan identitinya, Jaguar memperkenalkan rekaan jenama yang serba baharu. Mencerminkan komitmennya terhadap inovasi, keaslian, dan kelestarian.
Identiti baharu Jaguar ini berteraskan falsafah “Copy Nothing”, satu prinsip yang diwarisi daripada visi pengasasnya, Sir William Lyons. Rekaannya menggabungkan elemen geometri moden, warna-warna ceria, dan simbol inovatif yang melambangkan keberanian dan semangat untuk mencabar kebiasaan.
Reka Bentuk Baharu dan Logo Jaguar
Identiti visual baharu Jaguar merangkumi empat elemen utama:
- Device Mark: Menggunakan gabungan huruf besar dan kecil dalam fon unik yang direka khas.
- Strikethrough: Grafik garis linear berlapis dalam bingkai segi empat tepat, simbolik kepada pendirian Jaguar yang menolak peniruan dan kebiasaan.
- Warna Ceria: Palet warna utama seperti kuning, merah, dan biru, memberi penghormatan kepada dunia seni dan kreativiti.
- Makers Mark: Logo ‘leaper’ ikonik Jaguar kini diberi nafas baharu dengan reka bentuk kucing yang lebih bersudut dan melompat, membezakannya dari versi sebelumnya.
Selain itu, Jaguar turut memperkenalkan monogram baharu yang memadukan huruf “J” dan “r” dalam rekaan lebih geometrik dan moden. Menggantikan lencana muka jaguar lama. Reka bentuk ini mencerminkan gaya minimalis yang lebih segar.
Falsafah Baharu – Berani dan Artistik
Menurut Profesor Gerry McGovern, Ketua Pegawai Kreatif Jaguar, “Visi baharu Jaguar dibentuk oleh falsafah ini. Jenama baharu Jaguar dibina di atas prinsip Exuberant Modernism — imaginatif, berani, dan artistik di setiap sudut. Ia unik dan tanpa rasa takut.”
Pengarah Urusan Jaguar, Rawdon Glover, turut menambah, “Jaguar sentiasa berada di puncaknya apabila mencabar norma. Itu adalah inti pati yang kami bawa ke dalam identiti jenama baharu ini. Ia adalah transformasi penuh untuk mengembalikan keaslian Jaguar dan menginspirasi generasi baharu.”
Jaguar EV – Permulaan Era Elektrik
Langkah pertama Jaguar dalam era elektriknya akan bermula pada 3 Disember 2024. Mereka dijadualkan untuk memperkenal konsep kenderaan elektrik (EV) terbaharu di Miami Art Week, Amerika Syarikat. Model ini ialah sedan elektrik empat pintu yang bakal bersaing dengan Audi e-Tron dan Porsche Taycan.
Sedan elektrik ini adalah pembuka tirai kepada barisan kenderaan elektrik Jaguar yang akan menggunakan Platform Elektrifikasi baharu. Selepas itu, dua SUV elektrik akan dilancarkan pada 2026, menjadikan Jaguar lebih relevan dalam dunia automotif moden.
Transformasi ini bukan sekadar penjenamaan semula. Malah, simbol keberanian Jaguar untuk menonjolkan keaslian dan memenuhi aspirasi pengguna masa kini yang lebih menitikberatkan inovasi dan kelestarian. Jaguar kini melangkah ke depan dengan semangat baharu dan identiti yang lebih berani.
Dari ZigWheels
Baca Juga Kerjasama Teknologi VW dan Xpeng Semakin Maju
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.