“Khimar Bukan Sekadar Busana Patuh Syariah, Malah Selesa Digunakan Ketika Solat..” – Maryam Younarae

Personaliti media sosial, Maryam Younarae yang juga isteri kepada pempengaruh media sosial ‘Durian Kimchi’, Ryzal Ibrahim berniat untuk terus mempraktikkan pemakaian khimar di Malaysia seperti mana yang menjadi persalinan kebiasaan kebanyakan wanita di negara Timur Tengah.

Menurut Maryam, pemakaian khimar ini boleh memberikan keselesaan buat para wanita melakukan aktiviti harian dan pada masa sama memudahkan urusan ketika solat.

Katanya lagi, penggunaan kualiti kain daripada Korea Selatan juga nyata memberikan keselesaan buat si pemakai.

Khimar Lebih Selesa Dan Praktikal Berbanding Telekung

“Saya buat khimar ini untuk kegunaan seharian atau ketika berjalan-jalan. Boleh juga digunakan sewaktu solat.

“Memakai telekung untuk aktiviti harian mungkin agak tak sesuai kerana ia labuh dan kainnya tebal, tapi khimar ini sangat selesa.

“Bagi orang yang tak tahu mengenai khimar terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan saya, mereka tertanya-tanya saya tak panas ke? Selesa ke?

“Jadi, saya mahu mereka cuba sendiri. Oleh itu, saya sudah merancang untuk mewakafkan khimar ini di masjid-masjid di Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.

Maryam berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran Khimar MaryamNarae by Maryam You Narae bertempat di Lola by SeraiGroup KLGCC.

Terkilan Khimar Masih Belum Terkenal Di Korea!

Bagaimanapun, pelakon filem Mat Tudung Begins ini akui agak terkilan apabila pemakaian khimar masih belum boleh diterima ramai lebih-lebih lagi di negara kelahirannya, Korea Selatan.

“Pada Oktober lalu, saya balik ke Korea. Saya ada berkongsi video memakai khimar ketika ke pasar. Video tersebut telah viral dan menerima 12 juta tontonan.

“Orang-orang di Korea melihat saya dalam keadan pelik. Sebagai manusia, saya juga ada perasaan takut dan tertanya-tanya apa yang mereka fikirkan.

“Buat pertama kalinya, saya mengeluh kepada Allah. Kalau nak saya memeluk Islam, kenapa lahirkan saya sebagai orang Korea dan bukannya orang Malaysia? Kenapa beri saya situasi susah?,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, hal tersebut tidak sesekali melunturkan semangatya untuk berkongsi tentang keindahan Islam.

“Kemudian saya dapat jawapan. Kerana saya orang Korea Selatan dan seorang muslim, jadi, lebih mudah untuk saya mendekati mereka dan berkongsi tentang Islam.

“Saya akan terus tunjukkan perkara yang baik-baik. Sama seperti suami saya, Ryzal. Ketika dia membawa saya memeluk Islam, dia tak pernah paksa saya buat itu ini tapi dia menunjukkan contoh.

“Bila sudah terbiasa, saya pula ada keinginan untuk belajar sendiri. Setiap perkara yang berlaku ada prosesnya. Kita tak boleh terus berubah 360 darjah,” ulasnya lagi.

Bisnes Pakaian Muslimah Tanda Hargai Nikmat Rezeki Allah!

Pada masa sama, Maryam turut memaklumkan dia memulakan bisnes pakaian muslimah ini sebagai tanda untuk menghargai nikmat rezeki yang telah dikurniakan Allah.

“Ramai tahu saya peroleh rezeki yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Ada orang bila dapat rezeki, mereka hanya berterima kasih tapi tak buat apa-apa.

“Bila dapat rezeki, kita kena memanfaatkan pemberian itu. Allah nak kita memanjangkannya untuk perkara yang baik. Ini cara saya saya memanfaatkan rezeki,” akhirinya.

Untuk rekod, Maryam You Narae merupakan wanita asal Ansan, Gyeonggi-do, Korea Selatan sebelum berkahwin dengan pempengaruh media sosial asal Malaysia, Nik Muhammad Rizal dan popular dengan Youtube ‘Durian Kimchi’, Maryam hanyalah seorang wanita biasa yang mengusahakan kedai menjual kuih walnut bersama ibunya.

Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!

Sumber Foto: Instagram Maryamyunrrr

 

Comments

Leave a Reply