Guna Air Rendaman Ayat Al-Quran Untuk Rawat Penyakit, Adakah Dibenar Dalam Islam

Selain melakukan perubatan moden untuk menyembuhkan sesuatu penyakit, terdapat juga pelbagai kaedah yang diamalkan sebagai alternatif dan ikhtiar untuk merawat penyakit.

Antaranya adalah dengan perawatan Islam menggunakan kaedah menulis ayat al-Quran pada objek seperti kertas dan seumpamanya kemudian direndam dan air rendaman tersebut diminum.

Mungkin juga ada antara kita yang pernah membuat rawatan sebegini tapi persoalannya adakah perkara ini dibenarkan dalam Islam?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberikan pencerahan mengenai hal ini untuk panduan kita.

Memetik penjelasan dalam IRSYAD HUKUM SIRI KE-829: RUQYAH MENGGUNAKAN AIR RENDAMAN KERTAS YANG MENGANDUNGI AYAT SUCI AL-QURAN Menurut al-Nawawi, ulama berbeza pandangan berhubung penulisan ayat al-Quran pada bekas kemudiannya memberikan air basuhan daripada bekas tersebut untuk diminum oleh pesakit.

Beliau menukilkan pandangan daripada al-Hasan, Mujahid, Abu Qilabah dan al-Auza’ie yang mengatakan bahawa hukumnya adalah harus. Begitu juga pandangan daripada Husayn, al-Baghawi dan ulama mazhab Syafi’i selain daripada mereka yang berpendapat bahawa hukum menulis ayat al-Quran pada manisan atau makanan lalu memakannya juga adalah harus[3].

Selain itu, Imam Ibn Qayyim turut menyatakan bahawa ramai ulama salaf yang menulis ayat al-Quran kemudian meminumnya. Beliau turut menukilkan padangan Mujahid Rhm:

لا بأس أن يكتب القرآن ويغسله ويسقيه المريض

Maksudnya: “Tidak mengapa untuk menulis al-Quran dan membasuh dengannya serta meminumnya bagi orang yang sakit.” (Rujuk Zadd al-Ma‘ad fi Hadi al-Khair al-’Ibad: 4/344)

Hukumnya harus

Oleh yang demikian, hukum menulis ayat al-Quran pada helaian kertas lalu membasuh atau merendam kertas tersebut kemudian meminum air daripada larutan yang terhasil daripadanya adalah harus kerana ia termasuk dalam kategori ruqyah yang tidak diharamkan oleh syarak.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi supaya pelaksanaan kaedah sedemikian tidak bercanggah dengan ketetapan syarak dan tidak mendatangkan mudarat kepada pesakit.

Antaranya menjaga kesucian al-Quran dalam rawatan Islam dengan tidak mencampurkan kertas berisi ayat al- Quran dengan unsur yang mencemarkan seperti dakwat atau kertas bernajis. Atau bercampur dengan mantera yang sesat

Selain itu ia mestilah hanya dilakukan untuk tujuan perubatan serta bukan bermatlamatkan komersial supaya tidak berlaku penyalahgunaan ayat suci al-Quran sebagaimana yang termaktub dalam keputusan muzakarah MKI berkenaan ‘Hukum Penjualan Produk Menggunakan Ayat Ruqyah (Ayat Al-Quran) Untuk Tujuan Komersial’.[4]

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply