Fikir Masak-Masak SEBELUM Buat Keputusan Beli 3 Jenis Kediaman Ini

Memiliki hartanah bukan perkara mudah silap percaturan memang boleh merugikan pemilik kediaman. Sementelah, bukan semua hartanah boleh menjadi aset, silap pertimbangan boleh menjadi liabiti yang membebankan pula.

Sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah sebagai tempat tinggal, pertimbangkan dahulu segala perkara dengan mendalam. Sebaiknya elakkan beli kediaman jenis ini.

Perkongsian daripada Ejen Hartanah Berdaftar, Syakir Zainol ini boleh dijadikan panduan.

Sebelum beli 3 jenis hartanah ini, fikirlah dulu masak-masak, panjang-panjang, dan dalam-dalam sebelum buat keputusan muktamad.

1. Yang Pertama — Lot Banglo

Nak beli lot banglo ini semua orang boleh beli sekiranya mampu dan ada duit.
Tapi ramai yang semasa beli tu tak tahu pun yang sekiranya nak bina rumah di atas lot banglo sebenarnya memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Nak dapatkan kelulusan ini pula melibatkan banyak pihak termasuklah arkitek, pelukis pelan, jurutera itu dan jurutera ini.

Yang masaknya tu, keseluruhan kos untuk dapatkan kelulusan ini boleh mencecah tak kurang RM20k ke RM30k bergantung kepada jenis dan saiz binaan.

Haa satu lagi, kalau nak apply financing untuk bina rumah pula, selalunya bank cuma akan bagi margin pinjaman antara 70-80% dengan tempoh bayaran balik cuma sepanjang 10-15 tahun sahaja ya — kena cekaulah duit sendiri nak tanggung lagi 20-30% harga rumah tu.

2. Hartanah Kedua — Rumah Teres/Semi-d 3 Tingkat

Dah ramai dah saya jumpa pemilik rumah yang beli rumah 3 tingkat berakhir dengan jual balik rumah yang mereka diami itu.

Punca? Dah tak larat nak berulang turun naik panjat tangga dan tak tahan mengemas rumah sampai 3 tingkat.

Masa nak beli memang rasa seronok — maklumlah rumah besar dan ada banyak bilik, view dari tingkat atas pun cantik. Tapi bila dah lama sikit timbullah rasa menyesal tu sebab sampai sakit-sakit lutut nak berulang dari tingkat ke tingkat nak-nak pulak bagi si isteri yang setiap hari kena kemas dan bersihkan rumah.

3. Hartanah Ketiga — Rumah Townhouse

Rumah townhouse ni sekarang sudah semakin popular di kawasan bandar-bandar besar.Ianya satu alternatif baik kepada yang tak mampu nak beli rumah teres 2 tingkat tapi masih teringin nak tinggal di atas tanah dan tak mau hartanah tergantung di awangan seperti apartment dan kondominium.

Tapi kalau nak beli rumah townhouse di kawasan bandar-bandar kecil, fikir panjang-panjang kalau ada kemungkinan nak dijual balik rumah tu pada masa akan datang.
Rata-ratanya di kawasan bandar kecil, rumah-rumah seperti teres setingkat lebih mendapat permintaan dan lebih digemari ramai.

Jadi sekiranya nak jual balik rumah tu, ianya taklah sesusah rumah townhouse yang masih belum jadi pilihan orang-orang di bandar-bandar kecil.

Jadi kesimpulannya, kalau ada perancangan nak memiliki salah-satu daripada 3 jenis hartanah yang saya nyatakan di atas ini, fikirlah betul-betul ya.

Bukanlah tak boleh, tapi sebelum beli fahami betul-betul apa impak yang akan kita tanggung pada masa depan.

Bukan senang nak patah balik kalau tersilap langkah.

Mesti Baca: Beli Rumah ‘Lot Bumi’ Dan ‘Non-Bumi Lot’, Ini Kelebihan Dan Kekurangannya!
Baca Lagi Di Sini: Jangan Beli Rumah Jenis Ini Kalau Tak Mahu Menyesal Di Kemudian Hari!
Artikel Menarik:Beli Rumah Letak Dua Nama, Ini Kesan Yang Ramai Yang Tak Tahu

IMPIANA: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan dan rujukan buat yang sedang mencari rumah impian. Fikir dahulu dengan teliti rumah yang ingin dibeli dan kesannya pada jangka panjang.

Sumber: Syakir Zainol

Follow kami di WEBSITETELEGRAMINSTAGRAMTIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply