Khabar baik buat peminat Sambal Nyet Berapi dan Dendeng Nyet Berapi keluaran pempengaruh terkenal, Khairul Aming. Kedua produk itu kini telah menerima pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ia diumumkan sendiri oleh Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman (32) menerusi sebuah video di media sosial miliknya.
Menurutnya, pemilikan sijil halal berkenaan membuka peluang kepada syarikatnya untuk memasarkan produk ke pasaran luar dengan lebih meluas.
Kredit: Khairul Aming
“Hari ini kita nak umumkan yang kita dah dapat sijil halal Jakim untuk produk jenama Khairul Aming iaitu Dendeng Nyet Berapi dan juga Sambal Nyet Berapi”
“Sebenarnya, tahun ini kita letak sasaran nak dapatkan sijil halal untuk kilang Khairul Aming di Kota Bharu, Kelantan. Hari ini, Alhamdulillah kita dah dapat sijil halal itu daripada Jakim,” jelasnya menerusi video yang dikongsi di kesemua platform media sosial.
Khairul Aming merupakan pempengaruh media sosial dan beliau mula dikenali kerana kebolehan memasak serta menghasilkan kandungan dengan berkongsi resepi masakan menarik dan mudah diikuti.
Kredit: Khairul Aming
Beliau merupakan salah seorang personaliti media sosial yang sangat berjaya di Malaysia, bukan sahaja dalam bidang masakan tetapi juga dalam dunia keusahawanan.
Dalam pada itu, Khairul Aming memaklumkan, selain daripada sijil halal, produk keluarannya juga sudah mendapat kelulusan Skim Pensijilan MeSTI Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ujarnya, dengan hanya satu kilang dibangunkan di Kota Bharu, kini beliau sudah memiliki seramai 100 pekerja hasil kerja keras yang bermula daripada bawah.
“Seterusnya, inshaAllah kita akan cuba mohon untuk dapatkan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) pula untuk kilang kita di Kelantan,” katanya.
“Jadi, dengan adanya (sijil) halal ini, sekarang kita dah boleh mulakan langkah baharu untuk kembangkan lagi kita punya produk ke pasaran yang lebih besar,” tambahnya lagi.
View this post on Instagram
“Diharapkan, kita boleh kembangkan lagi industri e-dagang dan juga pengilangan makanan di Kota Bharu,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Khairul Aming, kini beliau sedang fokus untuk menghasilkan produk ketiga yang dijangka dilancarkan pada tahun depan.
Katanya, jenama Khairul Aming itu sudah memasuki usia lima tahun dan beliau menghargai semua pelanggan yang sentiasa menyokong dan membeli produknya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.