Sampai Hati Buat Tabung Tipu, Nenek Terkilan ‘Scammer’ Kutip Derma

“Saya dan keluarga tidak pernah tubuhkan apa-apa tabung bagi kutip sebarang dana untuk lima anak-anak arwah.

“Jangan ambil kesempatan atas cucu-cucu mak cik, mereka bergelar anak yatim, kasihani mereka,”

Begitulah antara luahan terkilan dengan pihak yang mengambil kesempatan kala mereka sekeluarga sedang berduka kehilangan insan tersayang.

Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran, 56, berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat individu cuba mengutip derma atas kesusahan dialami keluarga terutama anak-anak arwah.

“Semalam, makcik dimaklumkan, ada pihak yang membuat kutipan derma dan mendakwa wang derma RM2,000 sudah diserah kepada makcik. Bagaimanapun, tiada apa yang berlaku malah kami tidak pernah menerima wang berkenaan.

Namun, dia mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu membantu memberi sumbangan kepada cucu-cucu yatim piatu.

“Insya-Allah, makcik mengalu-alukan sumbangan untuk membantu makcik membesarkan lima beradik ini. Banyak pihak hulurkan bantuan seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu, pihak sekolah dan syarikat.

“Mereka semua datang terus memberi sumbangan dan ziarah makcik di rumah, makcik terima. Jangan ambil kesempatan atas cucu-cucu makcik, mereka bergelar anak yatim, kasihani mereka.”

Suami isteri maut dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid di Pasir Gudang. Foto Polis

JAGA AMANAH

Kala kesedihan yang tiada yang masih berbekas, dia mengakui sudah dua hari tidak boleh melelapkan mata memikirkan masa depan cucu-cucunya.

“Alhamdulillah makcik sihat, pakcik kurang sihat ada kencing manis dan darah tinggi. Pakcik kerja pendapatan tidak menentu.

“Walau apa pun keadaan, makcik dan pakcik akan jaga amanah ini dengan baik. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga termasuk pihak media,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasaraya Econsave Mas Imran Adam menyerahkan sumbangan barangan keperluan RM1,000 termasuk lampin pakai buang dan susu tepung.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 151294823866 atas nama Ramlah Kasiran.

Untuk info, dalam kejadian pukul 4 pagi Sabtu lalu, pasangan terbabit, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, yang menaiki motosikal dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini.

Mohd Ridzwan yang bekerja sebagai pemandu lori SWM manakala Linda yang bekerja sebagai pembantu kedai makan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira Mohd Redzwan, 14; Nur Shahmira Mohd Redzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Redzwan, 3.

Sumber: Buletin TV3 & Harian Metro


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply