Tahniah! Politeknik Port Dickson Kini Diiktiraf Sebagai Institusi TVET terbaik Asia Pasifik

Terbaru, Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan menerima pengiktirafan sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengiktirafan platinum yang diterima itu amat membanggakan kerana APACC adalah badan akreditasi yang dihormati di rantau Asia Pasifik khususnya dalam bidang TVET.

“Pengiktirafan daripada APACC bukan sahaja melambangkan kualiti dan keunggulan pendidikan yang ditawarkan, tetapi juga membawa makna bahawa standard institusi kita kini diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi sebuah perkongsian di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berharap agar pencapaian yang diperoleh Politeknik Port Dickson itu menyuntik semangat dan inspirasi kepada semua institusi TVET di negara ini untuk terus berinovasi dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.

Sementara itu, menurut Pengarah Politeknik Port Dickson, Hasan Mohd Sharif, pengiktirafan itu mencerminkan kejayaan institusi tersebut dalam membangunkan kerjasama strategik dengan pelbagai industri multinasional sekaligus mempersiapkan siswazah yang kompeten dan berdaya saing.

Katanya, kejayaan itu didorong oleh penubuhan Centre for Electrical, Energy, Technology and Services (CENTS) yang membuktikan komitmen institusi tersebut dalam menyelaraskan program strategik terkandung dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani, Politeknik Port Dickson menyokong pembangunan ekonomi inklusif, mampan dan kompetitif dengan program-program yang memenuhi permintaan industri dan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Selain itu, antara rakan industri menjadi penyumbang kepada pencapaian ini ialah HINO (Malaysia), KNX Skills Development Centre Sdn Bhd (KSDC), Global Academia Sdn Bhd (GASB), Fixbay Academy Sdn Bhd, Solarvest Holdings Berhad, SIGTECH Engineering Sdn Bhd dan Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC).

Bercakap mengenai penubuhan CENTS, ia juga menjadi penanda aras bagi institusi TVET lain dalam aspek peningkatan kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Pasifik.

Hasan berkata, CENTS menawarkan lapan kluster utama menumpukan kepada kemahiran kritikal diperlukan industri masa kini dengan membantu graduan meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja serta menyediakan peluang pembelajaran kepada pekerja dewasa melalui pendekatan kolaboratif dengan industri.

Tambahnya, perancangan jangka panjang Politeknik Port Dickson adalah untuk menjadi institusi bertaraf premier, berasaskan industri dan komuniti, serta institusi yang berasaskan penyelidikan.

Melalui usaha ini juga ia bakal memperkukuh peranan PPD dalam memacu agenda TVET MADANI bagi melahirkan siswazah kompeten dan bersedia untuk menyumbang dalam sektor industri berasaskan teknologi serta ekonomi mampan masa depan.

Sumber: Sinar Bestari & Politeknik Port Dickson

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Comments

Leave a Reply