Seorang Saintis Berjaya Merawat Kanser Dalam Tubuh Sendiri Menggunakan Virus

Beata Halassy seorang ahli virologi dari Universiti Zagreb telah berjaya merawat sendiri kanser payudara menggunakan virus yang dibangunkan sendiri di dalam makmal. Tumor kanser ditemukan pada payudara beliau pada tahun 2020 dan selepas melakukan eksperimen ke atas diri sendiri beliau kini mengatakan telah bebas sepenuhnya daripada kanser selama empat tahun.

Kertas kajian Halassy telah diterbitkan di dalam jurnal perubatan dan kini menimbulkan perdebatan mengenai etika seorang saintis melakukan rawatan ke atas diri sendiri. Halassy nekad melakukan rawatan oncolytic virotherapy (OVT) ke atas kanser tahap 3 beliau kerana rawatan ini masih di peringkat ujian dan hanya diberikan kepada pesakit kanser melanoma metatastik sahaja di Amerika Syarikat.

Beata Halassy 

Menggunakan kepakaran beliau sendiri, Halassy melalukan ujian rawatan OVT pada kanser payudara. Rawatan ini menggunakan virus yang disuntik terus ke dalam tumor kanser. Virus ini kemudiannya akan menyerang sel tumor dan pada waktu yang sama menggalakkan sistem imun tubuh untuk menyerang virus serta sel kanser dalam tubuh. Dua virus yang digunakan beliau dalam eksperimen ini ialah virus deman capak (measles) dan vesicular stomatitis.

Virus yang dikultur sendiri dalam makmal, disuntik terus pada tumor dengan bantuan rakan sekerja selama dua bulan serta dipantau oleh seorang ahli onkologi. Rawatan eksperimental ini berkesan menyebabkan tumor mengecil sebelum tertanggal daripada otot pektoral dan kulit yang kemudiannya dibuang menerusi prosedur pembedahan. Apabila tumor diperiksa, ia dipenuhi sel imun limfosit tubuh menunjukkan keberkesanan rawatan OVT untuk kanser payudara.

Halassy melakukan langkah drastik penuh kontroversi ini kerana ini kali ketiga tumor kanser payudara dikesan pada tubuh beliau. Walaupun rawatan kendiri beliau berkesan, beliau sedar mengenai isu etika perubatan melakukan eksperimen pada tubuh sendiri sungguhpun beliau seorang yang pakar dalam bidang virologi.

Saintis melakukan sendiri eksperimen pada tubuh sendiri bukanlah fenomena baharu. Robin Warren pada tahun 1982 menelan sendiri bakteria Helicobacter pylori untuk mengesahkan hipotesis ia adalah penyebab ulser perut.

Nature[ /sumber]


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply