Pemakanan daging merah berlebihan telahpun dikenalpasti sebagai punca berlakunya kanser kolorektal yang merupakan jenis kanser ketiga kerap berlaku di dunia. Walaupun perkaitan pemakanan daging merah dan kanser telah dikenalpasti, bagaimana ia berlaku hanya ditemukan oleh pasukan penyelidik dari Singapura minggu ini.
Penyelidik dari Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS) dan Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan Singapura (A*STAR) mendapati besi dalam daging merah mengaktifkan semula enzim telomerase yang mendorong perkembangan dalam sel kanser kolorektal.
Dalam tubuh telomer pada DNA akan menjadi semakin pendek dengan setiap belahan. Apabila belahan tidak lagi dapat dilakukan sel tubuh akan menua. Tetapi telemorase boleh membina semula telomer. Masalahnya jika pembelahan berlaku tanpa kawalan, ia akan menghasilkan sel tumor kanser kolorektal.
Dengan mekanisme bagaimana kanser kolorektal dihasilkan akibat pemakanan daging merah berlebihan diketahui, saintis di NCCS dan A*STAR turut menemukan cara bagaimana ia boleh dirawat. Molekul yang dinamakan SP2509 didapati dapat menghalang pengaktifan semula telemerase pada sel kanser apabila berinteraksi dengan molekul besi. Ini sekaligus menghalang perkembangan sel tumor kanser kolorektal daripada berlaku.
Kanser kolorektal adalah kanser yang paling biasa di kalangan lelaki Malaysia dengan ia dihidapi 15 dalam 100,000 lelaki dan kanser kedua paling biasa di kalangan wanita Malaysia (11 dalam 100,000). Ia merupakan penyebab kematian ketiga utama akibat kanser di Malaysia. Ini menjadi pendorong kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membangunkan ujian pengesanan awal kanser kolorektal menggunakan darah di Malaysia tahun ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.